SEREMBAN (The Capital Post) – Menteri Besar Negeri Sembilan bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dilaporkan sebulat suara memutuskan untuk menarik balik kandungan surat persembahan maklum kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja-Raja Melayu yang bertarikh 17 September 2026.
Perkara itu dinyatakan dalam salinan surat berkepala surat Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, bertarikh 16 November 2026, yang dialamatkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Menurut kandungan surat berkenaan, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira Kenyataan Media DYMM Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober 2026 serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026.
Perintah mahkamah itu, seperti yang dinyatakan dalam surat berkenaan, mengekalkan status quo kedudukan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Surat tersebut turut menjelaskan bahawa keputusan menarik balik kandungan surat terdahulu dibuat bagi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) serta memelihara tertib pemerintahan beraja.
Langkah itu juga dinyatakan bertujuan memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam suasana aman dan teratur.
-Advertisement-
Dalam surat sama, Menteri Besar bersama 10 Ahli MMK menegaskan komitmen untuk terus menjunjung adat serta menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi diraja dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan.
Mereka turut mengambil maklum seruan DYMM Raja-Raja Melayu supaya sebarang perbezaan diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa serta dilaksanakan secara beradab dan beradat.
Menurut surat itu, sebarang usaha ke arah penyelesaian perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi mengekalkan keharmonian dan kestabilan Negeri Sembilan, selain mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun, salinan surat yang diperoleh belum dapat disahkan secara bebas dari segi status pengeluaran dan penyerahannya kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.– The Capital Post