TELUK INTAN 16 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Setiap kali musim banjir tiba, Muhammad Zarith Hafizi, 29, tidak dapat melupakan detik cemas apabila diserang buaya ketika menjala ikan di Kampung Sungai Buaya, Kampung Gajah, tahun lalu.
Insiden berkenaan meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupannya, khususnya dari segi fizikal apabila mengalami kecederaan parah pada bahagian paha dan lutut kiri sehingga mengehadkan keupayaannya untuk melakukan kerja berat.
Mengimbau kejadian itu, Muhammad Zarith berkata insiden berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika dia bersama seorang rakan menuju ke kawasan tali air yang bersambung dengan Sungai Perak untuk memancing.
Bagaimanapun, rancangan mereka berubah apabila melihat banyak ikan timbul berhampiran tebing sungai, menyebabkan beliau pulang ke rumah berhampiran untuk mengambil jala.
Menurutnya, selepas kembali ke lokasi, dia turun ke tebing sungai untuk menebar jala manakala rakannya menunggu di bahagian atas.
Ketika hendak menebar jala, kaki kirinya secara tiba-tiba disambar dan ditarik dengan pantas oleh seekor buaya. Mujur rakannya sempat menariknya naik ke tebing sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Muhammad Zarith berkata dia dapat merasai kekuatan tarikan haiwan berkenaan yang sememangnya menjadi penghuni kawasan tersebut.
Selepas berjaya diselamatkan, darah didapati mengalir dengan banyak daripada kakinya, malah terdapat cebisan daging yang terkoyak akibat serangan itu.
-Advertisement-
Akibat kecederaan parah pada bahagian paha dan lutut kiri, beliau terpaksa menjalani rawatan di Hospital Teluk Intan selama sembilan hari.
Walaupun kini telah pulih, kecederaan tersebut masih mengehadkan pergerakan dan keupayaannya untuk melakukan pekerjaan yang memerlukan tenaga fizikal.
Bagi meneruskan kehidupan, bekas juruukur itu kini membantu perniagaan ibu bapanya serta melakukan kerja-kerja kampung secara kecil-kecilan. Isterinya pula turut membuat kuih-muih bagi menambah pendapatan keluarga.
Beliau berharap dapat memperoleh bantuan, termasuk peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan keadaan fizikalnya, bagi membolehkan keluarga meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Dalam pada itu, Muhammad Zarith menasihatkan orang ramai, khususnya kaki pancing dan penduduk yang mencari rezeki di sungai ketika musim banjir, supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan berwaspada terhadap kemungkinan serangan buaya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menganggap serangan buaya hanya berlaku di kawasan tertentu kerana dirinya sendiri pernah menjadi mangsa di Sungai Perak.
Katanya, aktiviti di kawasan sungai sebaik-baiknya dilakukan bersama rakan supaya bantuan dapat diberikan dengan segera sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. – The Capital Post