SHENZHEN, 19 November 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33 hari ini, yang menghimpunkan pemimpin 21 ekonomi anggota bagi membincangkan keutamaan ekonomi serantau dan memperkukuh kerjasama menghadapi cabaran global.
Anwar akan menghadiri mesyuarat berkenaan di Pusat Komunikasi Antarabangsa Shenzhen (SICC), dengan setiap ekonomi peserta diberikan masa lima minit untuk menyampaikan kenyataan masing-masing.
Bagaimanapun, pihak penganjur belum mengumumkan giliran penyampaian Kenyataan Negara oleh setiap pemimpin.
Mesyuarat itu menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau, memperkukuh integrasi ekonomi serta memperluas kerjasama dalam kalangan negara anggota.
Penyertaan Anwar mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, meningkatkan kesalinghubungan serantau serta memperkukuh kerjasama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Pada sebelah petang, beliau turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan perniagaan secara bersemuka dengan wakil syarikat, termasuk Yinson Holdings Bhd, Mayland Group dan Boeing.
Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia memperkukuh hubungan pelaburan serta meneroka peluang kerjasama dalam sektor strategik.
-Advertisement-
Anwar juga dijadual mengadakan sidang media pada petang ini bagi mengulas penyertaan Malaysia dalam mesyuarat berkenaan serta hasil perbincangan APEC.
Penyertaan negara dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 turut memperlihatkan komitmen Malaysia terhadap dialog serantau, kerjasama ekonomi dan pengukuhan hubungan strategik dalam menghadapi landskap ekonomi global yang semakin kompleks.
Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC sejak forum itu ditubuhkan pada 1989.
APEC ialah forum antara kerajaan yang dianggotai 21 ekonomi di Lingkaran Pasifik dengan matlamat menggalakkan perdagangan dan pelaburan bebas serta terbuka di rantau Asia Pasifik.
Forum itu mewakili kira-kira tiga bilion penduduk dan 61.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global pada 2025. – The Capital Post