KUALA LUMPUR, 19 November (The Capital Post) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan tular berhubung pelaksanaan ujian Sistem Amaran Awal Nasional di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang pada hari ini.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, MCMC menjelaskan bahawa maklumat mengenai ujian sistem amaran tersebut yang tersebar melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp adalah tidak benar.
Sebaliknya, suruhanjaya itu memaklumkan bahawa aktiviti yang dijadualkan pada hari ini hanya melibatkan ujian teknikal secara dalaman.
Menurut MCMC, ujian berkenaan bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan serta keberkesanan sistem sebelum pelaksanaannya diperluas pada masa akan datang.
-Advertisement-
MCMC turut menegaskan bahawa ujian tersebut bukanlah ujian amaran kepada orang awam di negeri-negeri seperti yang didakwa dalam mesej tular berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan sentiasa merujuk saluran rasmi MCMC bagi mendapatkan perkembangan serta pengumuman terkini. – The Capital Post