Kesiapsiagaan Banjir Jadi Tumpuan Dewan Rakyat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 19 November 2026 (The Capital Post) – Persediaan kerajaan menghadapi bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), termasuk kesiapsiagaan pasukan penyelamat, aset operasi serta bantuan kebajikan dan kewangan, menjadi antara isu utama yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu dibangkitkan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) menerusi soalan kepada Perdana Menteri dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

Beliau turut meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang menyediakan insentif kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang terlibat membantu mangsa banjir.

Dalam sesi sama, Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan langkah menyahkarbonkan sektor pengangkutan negara, termasuk peranan teknologi hidrogen sebagai pelengkap kepada penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam membangunkan sistem mobiliti rendah karbon yang mampan.

Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) pula meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan pendirian muktamad kerajaan berhubung penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (UPOV) 1991 berbanding UPOV 1978 di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Sementara itu, dalam sesi soal jawab lisan, Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memperincikan usaha rentas kementerian bagi meningkatkan produktiviti ekonomi serta tenaga kerja di seluruh negara.

Turut menjadi perhatian ialah pertanyaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) kepada Menteri Dalam Negeri mengenai pecahan jumlah pendatang asing yang direkodkan dan tidak direkodkan.

-Advertisement-

Beliau turut meminta penjelasan mengenai tindakan menangani penganiayaan pekerja, penggunaan dokumen pekerjaan tidak sah serta kadar jenayah yang melibatkan warga asing.

Datuk Ewon Benedick (PH-Penampang) pula meminta Menteri Perpaduan Negara menjelaskan perkembangan cadangan Akta Keharmonian Nasional atau undang-undang baharu bagi menangani isu 3R, iaitu raja, kaum dan agama, termasuk tarikh pembentangan serta cabaran yang menyebabkan pelaksanaannya masih belum dilakukan.

Selepas sesi soal jawab lisan, Dewan Rakyat dijadual menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2027) pada peringkat jawatankuasa sebelum diteruskan dengan sesi penggulungan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Mengikut takwim Dewan Rakyat, perbahasan Belanjawan 2027 pada peringkat jawatankuasa dijadual berlangsung sehingga 26 November ini.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 berlangsung selama 37 hari sehingga 8 Disember ini. – The Capital Post