KOTA BHARU, 19 November (The Capital Post) – Individu atau organisasi yang mengeluarkan kenyataan kepada media perlu mempertimbangkan segala implikasi sebelum berbuat demikian, termasuk kemungkinan berdepan kontroversi dan kecaman masyarakat.
Pakar media massa, Prof Madya Dr Shahrul Nazmi Sannusi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata media tidak seharusnya menarik balik laporan yang telah diterbitkan sekiranya kandungannya tepat serta menepati konteks asal kenyataan sumber.
Menurut beliau, kontroversi atau reaksi negatif masyarakat bukan alasan yang mencukupi untuk menarik balik sesuatu berita, khususnya apabila sumber sendiri meminta tindakan itu selepas menerima kecaman orang ramai.
Beliau berkata setiap individu atau organisasi perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan dan tidak meletakkan beban tersebut kepada media yang berperanan menyampaikan maklumat tepat serta sahih kepada masyarakat.
Shahrul Nazmi yang juga Felow Penyelidik Institut Kewartawanan, Media dan Pengajian Komunikasi, Keio University, Tokyo, Jepun, berkata tindakan menarik balik laporan semata-mata untuk menjaga hubungan dengan sumber boleh menjejaskan kredibiliti media, kepercayaan masyarakat dan kebebasan editorial.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Shekh Alsagoff berkata individu yang membuat kenyataan secara terbuka perlu bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan kesan kenyataan berkenaan.
Beliau menjelaskan kenyataan yang disampaikan melalui sidang media, temu bual atau kenyataan rasmi lazimnya mempunyai jangkaan untuk dipetik dan disebarkan kepada khalayak, tertakluk pada persetujuan dengan wartawan serta amalan pelaporan yang adil.
Menurutnya, tanggungjawab sumber berita merangkumi ketepatan kenyataan, kesannya terhadap masyarakat dan kepentingan mengekalkan rekod awam, terutama apabila sesuatu kenyataan menyentuh keputusan rasmi, penggunaan dana awam, keselamatan atau tanggungjawab pemegang jawatan.
Bagaimanapun, Syed Agil menegaskan prinsip akauntabiliti sumber tidak bermaksud media mempunyai kebebasan mutlak untuk menerbitkan sebarang kenyataan tanpa pertimbangan etika.
Sebaliknya, organisasi media tetap perlu memastikan ketepatan fakta, konteks, kepentingan awam, keadilan pelaporan serta mengelakkan kemudaratan yang tidak wajar.
Dalam pada itu, Shahrul Nazmi berkata wartawan dan editor perlu menyemak semula rakaman asal, transkrip serta konteks kenyataan sekiranya sumber mendakwa berlaku salah tafsir.
-Advertisement-
Beliau menjelaskan pembetulan perlu dilakukan apabila laporan mengandungi fakta tidak tepat atau mengelirukan, namun kesilapan khusus seperti nama atau angka tertentu tidak semestinya memerlukan penarikan balik keseluruhan berita.
Penarikan balik boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat kesilapan serius yang menjejaskan keseluruhan laporan, penyebaran maklumat palsu atau pelanggaran etika yang tidak dapat diperbetulkan melalui kaedah lain.
Syed Agil pula berpandangan sumber berita wajar diberikan ruang mengemukakan bantahan sekiranya terdapat petikan tidak tepat, konteks yang ditinggalkan atau penerbitan yang melanggar persetujuan temu bual.
Antara pendekatan yang boleh diambil media termasuk menerbitkan kenyataan susulan, menambah konteks yang tertinggal dalam laporan awal atau mengadakan temu bual lanjut bagi membolehkan sumber memberikan penjelasan tanpa memadamkan rekod laporan asal yang tepat.
Beliau turut menegaskan bahawa peluang untuk memberikan penjelasan tidak bermaksud sumber mempunyai hak untuk mengawal penerbitan asal.
Mengulas kepentingan kebebasan editorial, kedua-dua pakar berpandangan hubungan profesional antara wartawan dengan sumber tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab media terhadap masyarakat.
Organisasi media juga disaran mempunyai prosedur yang jelas bagi mengendalikan permintaan menarik balik berita, termasuk menyemak bukti, rakaman asal dan persetujuan temu bual serta memberikan ruang kepada sumber mengemukakan bantahan.
Keputusan akhir perlu dibuat oleh editor secara bebas tanpa tekanan mana-mana pihak, manakala sebarang kesilapan dalam laporan hendaklah diperbetulkan secara telus.
Dalam memastikan kepercayaan masyarakat terus terpelihara, prinsip ketepatan maklumat, integriti pelaporan dan kepentingan awam perlu menjadi keutamaan, bukannya semata-mata menjaga reputasi pihak yang mengeluarkan kenyataan. – The Capital Post