Perancis Tolak Pusat Migran Rwanda

Estimate Reading Time: < 1 minute

ISTANBUL, 19 November (The Capital Post) – Perancis menolak cadangan menyertai inisiatif penubuhan pusat pemulangan migran di Rwanda kerana meragui keberkesanannya selain berpandangan langkah itu tidak selari dengan nilai yang diperjuangkan negara berkenaan.

Kementerian Luar Perancis pada Rabu menegaskan pendirian negara itu kekal tidak berubah ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Perwakilan Benjamin Haddad mengenai cadangan kem migran di Rwanda.

Jurucakap kementerian itu berkata pusat berkenaan dilihat tidak berkesan dari sudut pelaksanaan dan tidak mencerminkan nilai yang ingin dipertahankan oleh Perancis.

Beliau turut menjelaskan bahawa negara-negara Eropah boleh menyertai inisiatif berkenaan menggunakan pembiayaan masing-masing, namun Perancis berjaya memastikan tiada dana Kesatuan Eropah (EU) disalurkan kepada pusat tersebut.

Pada Isnin, Austria, Denmark, Jerman, Greece dan Belanda mengumumkan bahawa mereka sedang meneliti cadangan penubuhan pusat pemulangan migran di Rwanda.

Inisiatif itu bertujuan mencapai persetujuan bagi membolehkan pemindahan pemohon suaka yang permohonannya ditolak bermula menjelang 2027.

-Advertisement-

Menurut kenyataan Kementerian Imigresen Denmark, pusat berkenaan dicadangkan untuk menempatkan individu yang tidak lagi mempunyai hak sah untuk tinggal di negara EU yang mengambil bahagian serta tertakluk kepada perintah pemulangan yang boleh dikuatkuasakan.

Individu yang dipindahkan berpeluang membina kehidupan di Rwanda atau secara sukarela kembali ke negara asal masing-masing, selain boleh berpindah ke negara lain yang membenarkan mereka menetap secara sah.

Sebelum ini, United Kingdom (UK) turut pernah mencapai persetujuan dengan Rwanda untuk menghantar pemohon suaka ke negara Afrika itu bagi tujuan pemprosesan permohonan mereka.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung UK pada November 2023 memutuskan rancangan berkenaan menyalahi undang-undang selepas mendapati terdapat alasan kukuh untuk mempercayai kelemahan sistem suaka Rwanda boleh menyebabkan pemohon suaka dihantar semula ke negara yang berisiko mendedahkan mereka kepada penganiayaan.

Tindakan itu dikenali sebagai refoulement, iaitu pemulangan seseorang ke negara yang boleh menyebabkan mereka berdepan risiko penganiayaan. – The Capital Post