REE, Scam Online Tumpuan Parlimen

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 25 November 2026 (The Capital Post) – Pembangunan sumber unsur nadir bumi (REE) secara terkawal serta perkembangan usaha membanteras penipuan dalam talian antara isu utama yang dijadual dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan perancangan kerajaan untuk membangunkan sumber REE secara terkawal dan mampan.

Beliau turut meminta maklumat mengenai negeri yang memiliki sumber REE terbesar, anggaran rizab, nilai ekonomi, kaedah perlombongan serta mekanisme pemantauan bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

Dalam sesi soal jawab sama, V. Ganabatirau (PH-Klang) pula meminta Menteri Dalam Negeri memberikan perkembangan terkini usaha kerajaan membanteras penipuan dalam talian dan kegiatan akaun keldai, termasuk jumlah kerugian yang ditanggung rakyat Malaysia sejak 2023.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai jumlah wang yang berjaya dibekukan atau dikembalikan kepada mangsa, kadar pendakwaan serta langkah mempercepat pembekuan transaksi mencurigakan sebelum wang dipindahkan ke luar negara.

Sementara itu, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan mekanisme kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan kompetitif di kawasan luar bandar.

-Advertisement-

Persoalan itu turut merangkumi usaha memadankan peluang pekerjaan dengan keperluan industri setempat bagi mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar.

Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) pula mengemukakan soalan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai impak program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Rural Business Challenge (RBC) terhadap peningkatan pendapatan usahawan luar bandar sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai inisiatif terkini kementerian bagi membantu produk keluaran desa menembusi pasaran e-dagang.

Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadual meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di peringkat jawatankuasa.

Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan berkenaan dijadual berlangsung sehingga esok. – The Capital Post