Aaron-Woo Yik buru gelaran No. 1 dunia

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEPANG: Selepas berjaya menamatkan penantian 45 tahun negara untuk memiliki juara dunia pertama dalam sukan badminton, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memasang misi besar memburu kedudukan beregu lelaki No. 1 dunia.

-Advertisement-

Misi itu bukanlah mustahil kerana Aaron-Wooi Yik semakin menghambat pasangan Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang menghuni ranking No. 1 dengan mendaki ke tangga kelima, Isnin lalu.

Kali terakhir beregu lelaki negara berada di puncak tertinggi dunia adalah menerusi Tan Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada 2016, sejurus mereka memena­ngi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Lebih manis, kejayaan ­Aaron-Wooi Yik bergelar juara dunia membolehkan mereka mendapat jemputan automatik daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir hujung tahun ini, dengan lapan pemain terbaik dunia sahaja layak beraksi.

“Berita gembira ini memang sesuatu yang kami harapkan, ia secara tidak langsung membangkitkan lagi semangat juang kami untuk bertanding di kejohanan akan datang

“Kita pun harap suatu hari nanti dapat jadi No. 1 dunia, memang ini berita gembira tetapi kami perlu bekerja lebih keras untuk itu,” kata Aaron sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

-Advertisement-

Aaron-Wooi Yik belum pernah melepasi peringkat kumpulan dalam Jelajah Dunia Akhir sejak membuat penampilan pada 2019.

“Saya rasa kami akan ambil pendekatan satu per satu, kerana saya langsung tidak fikirkan tentang saingan Jelajah Dunia Akhir, yang penting kami mahu mengekalkan prestasi.

“Kami ada rehat sebulan sebelum beraksi semula, dan saya benar-benar mahu memberi tumpuan kepada prestasi apabila kembali semula ke dalam gelanggang nanti,” kata Wooi Yik.

Mengulas mengenai kece­deraan bahu kanannya, Aaron berkata ia tidak serius biarpun dia dan Wooi Yik terpaksa menarik diri daripada Terbuka Jepun minggu ini.– UTUSAN