Apresiasi UK’s, Slam buat Saari Amri

Estimate Reading Time: 1 minute

KUALA LUMPUR: Dua vokalis band terkenal, Amir UK’s dan Zamani Slam menyifatkan Konsert UK’Slam Musical yang bakal dijayakan bulan depan adalah satu apresiasi terhadap jasa dan sumbangan komposer legenda, Saari Amri.

Amir berkata, penghargaan itu diberikan kerana Saari banyak menghasilkan lagu hits buat mereka sepanjang tiga dekad band terbabit berada dalam bidang muzik.

“Tak dinafikan, sentuhan Saari berjaya menaikkan nama kami dan malam itu adalah penghormatan untuk Saari kerana hampir 90 peratus lagu yang kami nyanyikan adalah hasil ciptaannya.

“Sepanjang tiga dekad dalam bidang seni, lagu Saari banyak membawa rezeki kepada kami. Jadi, saya percaya peminat yang datang pasti nak dengar lagu ciptaannya walaupun ada juga lagu hits dicipta komposer lain.

“Selain apresiasi buat sifu kami, konsert ini juga meraikan lagu genre 1990-an,” katanya kepada BH Online.

Tambah pemilik nama sebenar Mohd Azmir Mohammad Yusuf, 55, Saari gembira apabila mendapat tahu mengenai penganjuran konsert yang menggabungkan dua vokalis ‘otai’ itu.

“Reaksi pertama Saari adalah siap menyanyi lagu kami dalam media sosial. Mula-mula nyanyi lagu Slam, diikuti UK’s.

“Cuma lagu UK’s iaitu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu diubah liriknya dan kedengaran kelakar. Tapi, tak mengapa kerana Saari yang cipta lagu itu.

“Kami berbesar hati kerana Saari bersetuju untuk hadir,” ujarnya ditemui pada sidang pra tonton konsert di sebuah hotel, di sini, semalam.

Acara itu adalah beri gambaran sebahagian segmen gabungan muzik dan persembahan antara dua band terbabit yang boleh peminat saksikan pada konsert sebenar nanti.

Sebanyak 30 lagu bakal didendangkan pada konsert berdurasi hampir tiga jam. Antaranya, Di Luar kemampuanku, Pahit Akan Jadi Manis Akhirnya, Bila Diri Disayangi, Tergamak Kau, Rhythm Si Jantng Hati, Buat Seorang Kekasih, Kembali Terjalin, Gerimis Mengundang, Rindiani, Maria Mariana dan banyak lagi.

Konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide dan AmirUKs Entertainment itu akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor pada 3 Februari ini.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment