Azmin Ali dilantik Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 10 Nov — Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bersetuju sebulat suara melantik Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengarah Pilihan Raya PN bagi mengetuai persediaan jentera pilihan raya parti.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat semalam dalam usaha mengukuhkan kedudukan PN sebagai parti politik yang menerajui kerajaan hari ini.

Beliau berkata sayap Pemuda PN yang dipimpin oleh Khairil Nizam Khirudin juga diminta merancakkan lagi aktiviti di peringkat akar umbi agar dapat merapatkan silaturahim antara ahli parti.

“Majlis Tertinggi percaya keputusan ini bakal memantapkan lagi gerak kerja PN di semua peringkat dan menambah baik koordinasi dalam kalangan parti komponen PN,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Majlis Tertinggi PN bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Badan Perhubungan Negeri PN bagi menyelaras aktiviti parti di peringkat negeri serta memperkasakan gerak kerja parti di peringkat akar umbi secara menyeluruh.

“Dalam hal ini, Pengerusi PN akan melantik Pengerusi Badan Perhubungan Negeri yang akan memanggil dan mempengerusikan semua mesyuarat Badan Perhubungan Negeri,” katanya.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment