Fattah nafi wajah eksklusif untuk filem

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pelakon Fattah Amin menepis dakwaan wajahnya kini eksklusif untuk layar perak hanya kerana dilihat sudah lama tidak beraksi di kaca televisyen (TV).

Mengulas lanjut, Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34, mengakui masih berminat untuk berlakon di layar kaca dan mempunyai beberapa projek drama yang sedang dalam pembikinan.

“Wajah saya bukanlah eksklusif untuk filem. Ini kerana saya masih berminat untuk berlakon dalam drama.

“Ada drama yang masih menjalani penggambaran dan menyusul beberapa projek drama lain.

“Saya sedar sebagai pelakon, saya ada penonton yang suka tengok di pawagam dan drama. Saya kena bahagi sama rata.

“Apa yang lebih penting, pemilihan sesuatu naskhah dan bukannya kerana saya berlakon dalam filem, jadi saya kena kekalkan prinsip ini.

“Kalau naskhah atau rezeki yang datang berbeza dan tak pernah bawa watak berkenaan, saya akan pertimbangkan sebelum bersetuju.

“Tak kisahlah sama ada naskhah itu untuk televisyen (TV), saluran penstriman ataupun filem,” katanya kepada BH Online.

Kali terakhir Fattah muncul di kaca TV menerusi drama Khilaf Asmara yang ditayangkan di TV3 pada 2022.

Terdahulu, pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 itu ditemui pada majlis tayangan perdana Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, baru-baru ini.

Menerusi filem sekuel Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu, Fattah bergandingan dengan isterinya, Nur Fazura yang memegang watak sebagai serikandi Islam bernama Sayang.

Berkongsi perasaan berlakon bersama Nur Fazura, Fattah mengakui bergandingan dengan isteri dalam karya sentuhan Shaharudin Mat Dali dan Saiful Reza Shukor itu menghadirkan semangat baharu buatnya.

“Kami memegang watak suami isteri dalam filem ini. Kehadiran Fazura secara tidak langsung memudahkan kami menghayati watak dengan lebih berkesan.

“Bila berlakon dengan Fazura yang memegang watak isteri Awang, pasti akan ada babak sentuhan. Sebenarnya sentuhan itulah dapat membakar semangat menghidupkan lagi karakter Awang,” jelasnya.

Selain Fattah dan Fazura, pelakon lain yang turut menjayakan filem itu termasuklah Wan Hanafi Su, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Nadhir Nasar, Nam Ron dan Amir Ahnaf.

Filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd itu bakal menemui penonton di pawagam tempatan pada Khamis ini.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment