TV, OTT perlu seimbang buat Siti Saleha

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Biarpun sejak akhir ini dilihat lebih aktif menjayakan drama terbitan platform penstriman Over The Top (OTT) berbanding stesen televisyen (TV), bukan bermakna, Siti Saleha memilih menjayakan projek bajet besar.

Siti Saleha atau nama penuh, Siti Saleha Mohd Baharum, 33, tidak menafikan kelebihan berlakon di OTT, namun dia juga sedar drama TV yang mesra khalayak mampu membuatkan dirinya terus dikenali masyarakat.

“Kebanyakan pelakon suka beraksi di OTT. Namun, pada masa sama kena ambil ‘job’ untuk TV demi populariti. Jika tidak, pengikut menurun.

“Biarpun saya mengaku OTT adalah pasaran masa hadapan, tetapi kita kena ada dalam drama TV.

“Kita kena berlakon drama slot Akasia sebab mak cik semua suka tonton. Saya sudah lama tidak berlakon buat drama. Naskhah terakhir adalah 7 Hari Mencintaiku musim ketiga, awal tahun lalu.

“Selepas itu, saya banyak fokus drama di platform OTT seperti Viu,” katanya kepada BH Online.

Tidak menolak pendapat dirinya kini selektif, Saleha mahukan kelainan setiap kali tampil dalam naskhah baharu.

Sama seperti pelakon lain yang sudah bertahun-tahun terbabit dalam dunia seni, Saleha suka mencabar diri untuk mempamerkan sisi lakonan berbeza.

“Sudah tentu saya hendak pilih dari segi cerita. Bagaimanapun, watak dan cerita ditawarkan hampir sama dan pernah dilakonkan. Ini bukan klise, tetapi jalan cerita sama, saya mahukan sedikit kelainan.

“Disebabkan itu saya ambil tawaran buat drama premium seperti siri Tonton Original: SeOfis.

“Saya tidak pernah bawa watak sebagai arkitek, jadi saya ambil tawaran ini. Pada tahap ini, saya perlu buat kelainan dalam lakonan,” katanya ditemui pada sidang media siri Tonton Original: SeOfis di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam mengatur perjalanan karier lakonan, Siti Saleha bagaimanapun bukanlah merancang mahu memberi fokus kepada TV atau platform OTT setiap tahun.

“Saya tidak rancang, namun Alhamdulillah, masih berlakon dan relevan. Semuanya menyeronokkan. Selain itu, saya dapat melancong dan baru balik dari Taiwan.

“Pada masa sama, saya buat kerja pengacaraan, biarpun tidak selalu kerana bukan zon selesa saya.

“Selalunya saya tidak merancang, lebih suka go with the flow. Setakat ini, mungkin ada projek besar, tetapi saya tidak boleh beritahu lagi,” katanya.

Siri Tonton Original: SeOfis menyaksikan pertembungan tiga personaliti wanita berkerjaya di usia 30-an yang akhirnya membentuk satu ikatan persahabatan bagi mengharungi suka duka, cita-cita dan cinta di ibu kota.

Drama bersiri 12 episod ini boleh distrim mulai 18 Januari di platform penstriman Tonton. SeOfis diterbitkan Parallax Pictures dan diarah oleh Faizul Jais dengan nukilan skrip Nadia Khan dan Mamu Vies.

Selain Siti Saleha, SeOfis menampilkan Nadiya Nisaa, Nadia Aqilah, Fahrin Ahmad, Hafizul Kamal, Munir Kharuddin dan Akmal Azwar.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment