Anak staf maut dalam serang di Gaza, MSF desak gencatan senjata segera, berterusan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Doctors Without Borders (MSF) mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas tempat perlindungannya di Selatan Gaza Isnin lalu yang meragut nyawa kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang juga anak kepada kakitangannya.

-Advertisement-

Sehubungan itu, MSF terus menggesa ke arah gencatan senjata segera dan berterusan di Gaza.

“Keganasan tidak berpihak terhadap orang awam mesti ditamatkan sekarang,” kata pertubuhan kemanusiaan itu melalui kenyataan hari ini.

Penyelaras projek MSF di Gaza, Thomas Lauvin menegaskan, serangan terhadap orang awam tidak boleh diterima sama sekali dan ia sekali lagi menunjukkan bahawa tidak kira di mana anda berada di Gaza, tidak akan ada tempat yang selamat.

“Kami marah dan sangat terkesan dengan kematian seorang lagi ahli keluarga kakitangan MSF kami.

“Peluru itu tidak meletup ketika impak, jika tidak ramai lagi kakitangan kami dan keluarga mereka berkemungkinan besar terbunuh (dalam serangan itu),” katanya.

Pagi Isnin lalu, sebutir peluru dipercayai dilancarkan dari kereta kebal, menembusi dinding bangunan di mana lebih 100 kakitangan MSF dan ahli keluarga mereka berlindung di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza.

Seorang anak-kanak perempuan berusia lima tahun itu parah dalam serangan itu dengan tiga yang lain turut cedera ringan.

-Advertisement-

Kanak-kanak itu yang menjalani pembedahan di Hospital Eropah Gaza bagaimanapun meninggal dunia keesokan harinya.

Berdasarkan rekod, empat kakitangan MSF terbunuh sejak permulaan perang di Gaza dan itu tidak termasuk kematian membabitkan ramai lagi ahli keluarga kakitangan lain.

MSF berkata, meskipun tidak dapat mengesahkan siapa yang melancarkan peluru itu, ia bagaimanapun kelihatan sama dengan apa yang digunakan kereta kebal Israel.

“MSF sudah memaklumkan kepada tentera Israel bahawa tempat perlindungan berhampiran Hospital Eropah Gaza menempatkan kakitangan MSF dan keluarga mereka.

“Tambahan pula, tiada arahan pemindahan dikeluarkan sebelum serangan.

“MSF sudah menghubungi pihak berkuasa Israel dan sedang mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373