KUALA LUMPUR 3 Oktober 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meninjau tapak bekas Kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sebelah Masjid Abdullah Zubair, Sungai Besi, semalam bagi melihat perancangan pembangunan kediaman khas untuk golongan profesional muda Melayu yang bekerja di ibu kota.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan bahawa sebanyak 160 unit kediaman di kawasan seluas 10 ekar di Bandar Malaysia akan dibaik pulih dan diperuntukkan kepada golongan berkenaan. Projek itu dijangka siap untuk didiami menjelang 2027.
Tinjauan tersebut dilakukan selepas beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Abdullah Zubair dan meluangkan masa untuk makan tengah hari bersama penduduk setempat.
Menurut Anwar, usaha itu turut menandakan pelaksanaan komitmen kerajaan untuk mewartakan 50 ekar Tanah Rizab Melayu di Bandar Malaysia, seperti yang diumumkannya ketika Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.
-Advertisement-
Pewartaan berkenaan bertujuan memastikan tanah bernilai di tengah-tengah Kuala Lumpur terus terpelihara bagi kepentingan orang Melayu. Penyerahan tapak seluas 10 ekar itu pula merupakan fasa pertama pembangunan di kawasan Tanah Rizab Melayu berkenaan, dengan fokus menyediakan kediaman kepada golongan profesional muda Melayu.
Anwar menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited memperluas peluang pemilikan kediaman serta meningkatkan kedudukan sosioekonomi masyarakat Melayu dan Bumiputera tanpa menjejaskan hak dan peluang kaum lain.
Beliau turut menekankan bahawa kemakmuran Kuala Lumpur perlu dinikmati secara adil dan saksama agar semua warga berpeluang membina kehidupan serta masa depan yang lebih terjamin di ibu kota – The Capital Post