KAJANG: Satu unit kediaman apartmen di Persiaran Bangi Avenue, Kajang dipercayai dijadikan stor penyimpanan mercun terbakar malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima laporan kebakaran pada jam 10.42 malam.
Sebagai tindak balas, pasukan dan jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dan Semenyih digerakkan ke lokasi bagi memadam kebakaran.
Katanya, unit kediaman yang terbakar terletak di tingkat lapan dan mempunyai keluasan 1,200 kaki persegi. “Kebakaran berlaku di sebuah unit apartmen di tingkat lapan dengan 80 peratus kerosakan di bahagian bilik yang mengandungi mercun,” jelas beliau.
“Api berjaya dikawal daripada terus merebak kira-kira jam 11.19 malam sebelum operasi pemadaman sepenuhnya dilakukan,” tambahnya dalam kenyataan hari ini.
-Advertisement-
Ahmad Mukhlis berkata, komander operasi di lokasi melaporkan pelbagai jenis mercun ditemui di dalam unit terbabit.
“Kebakaran kini telah dipadamkan sepenuhnya dan kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dijalankan,” ujarnya.
-BeritaHarian