Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 Dibentang di Dewan Rakyat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 22 Jun— Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 yang bertujuan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ancaman jenayah siber pada masa kini bukan sahaja melibatkan pencerobohan sistem komputer dan kecurian data, tetapi turut merangkumi kecurian identiti, penipuan dalam talian, serangan perisian tebusan (ransomware), serta penyalahgunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

“Justeru, Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 ini penting dalam mencegah dan membanteras jenayah siber yang semakin kompleks,” katanya dalam satu kenyataan selepas membentangkan rang undang-undang itu, sambil menambah bacaan kedua dan ketiga dijadualkan pada 1 Julai.

Ahmad Zahid berkata rang undang-undang itu antara lain bertujuan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) bagi memastikan Malaysia memenuhi obligasi antarabangsa di bawah Konvensyen Budapest mengenai Jenayah Siber serta Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Jenayah Siber.

Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 akan menyediakan kuasa kawal selia dan penguatkuasaan berkaitan jenayah siber serta akan dikawal selia oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM), katanya.

Beliau berkata rang undang-undang itu mengandungi lapan bahagian dan 61 klausa yang menyediakan kuasa kawal selia dan penguatkuasaan bagi menangani jenayah siber yang semakin kompleks, serta yakin pelaksanaannya akan memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara.

Ia juga dijangka bukan sahaja melindungi orang awam secara menyeluruh, tetapi turut menyokong pertumbuhan ekonomi digital, menggalakkan inovasi serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global.

Sementara itu, teks rang undang-undang yang diterbitkan di portal Parlimen hari ini menunjukkan ia mengandungi 61 klausa yang merangkumi pelbagai jenis kesalahan siber termasuk capaian tanpa kebenaran ke atas sistem komputer, pemalsuan berkaitan komputer, penipuan siber, gangguan data, serta sistem identiti digital negara.

Rang undang-undang itu turut memperincikan kesalahan berkaitan komunikasi palsu, kecurian identiti, penyebaran kandungan yang dijana atau dimanipulasi menggunakan sistem komputer, serta penyebaran imej intim.

Klausa 10 memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang dengan sengaja mengakses sistem komputer tanpa kebenaran dan menyebabkan gangguan atau kerosakan boleh didenda atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Klausa 13 pula menyatakan bahawa individu yang mencegat data komputer tanpa kebenaran, mengubah atau menghalang akses kepada data, atau mendapatkan data tanpa kebenaran melakukan satu kesalahan.

Kesalahan itu membawa hukuman denda sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Klausa 16 pula memperuntukkan kesalahan memudahkan pencerobohan data komputer atau mengganggu data komputer termasuk menyediakan alat, kata laluan atau akses tanpa kebenaran.

Klausa 19 menyentuh kesalahan mendedahkan kata laluan Identiti Digital Negara atau memberi akses kepada pihak lain yang boleh menyebabkan akses tanpa kebenaran kepada sistem.

Klausa 24 memperuntukkan hukuman bagi kesalahan menyebarkan imej intim, termasuk tindakan menghantar, mengedar, menerbit, menjual atau memuat naik imej berkenaan, dengan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Rang undang-undang itu turut memperuntukkan hukuman lebih berat jika perbuatan dilakukan dengan niat memalukan, mencederakan, memaksa atau mengugut individu dalam imej berkenaan.— BERNAMA

-Advertisement-