KAZAN 18 Jun 2026 (The Capital Post) – Kerjasama ekonomi antara ASEAN dan Rusia terus diperkukuh menerusi Forum Perniagaan Rusia–ASEAN yang menekankan kepentingan kolaborasi strategik dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks.
Dalam ucaptama di Kazan, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memetik kata-kata penyair agung Tatarstan, Abdullah Tukay, bahawa “only in serving the people do I admit true happiness”, sebagai peringatan bahawa setiap dasar dan kerjasama ekonomi harus berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa dunia kini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta persaingan teknologi yang semakin sengit, sekali gus menuntut pengukuhan kerjasama antarabangsa berbanding tindakan secara bersendirian.
Menurut beliau, ASEAN telah membuktikan kedudukannya sebagai antara rantau paling dinamik dan berdaya tahan di dunia, berasaskan prinsip keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama yang berterusan antara negara anggotanya.
Dalam konteks itu, ASEAN dan Rusia dilihat mempunyai potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam bidang strategik seperti keselamatan makanan, tenaga, teknologi digital, pendidikan serta pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan masa hadapan.
-Advertisement-
Perdana Menteri turut mengalu-alukan pembangunan ASEAN–Russia Strategic Programme on Trade and Investment Cooperation 2026–2035 yang dijangka memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi jangka panjang antara kedua-dua pihak.
Beliau turut menegaskan komitmen ASEAN untuk terus mempertahankan sistem perdagangan yang terbuka, adil dan berasaskan peraturan yang dipersetujui bersama, sambil menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan ekonomi tanpa menjejaskan semangat kerjasama global.
Keseluruhan persefahaman yang dicapai dalam forum tersebut diharap dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata yang mampu menjana peluang baharu, meningkatkan kemakmuran serta memberi manfaat langsung kepada rakyat di rantau ASEAN dan Rusia. – The Capital Post