Aset CBP dijangka cecah RM10 bilion tahun depan

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) yang ditubuhkan sebagai The Province Wellesley Co-operative Banking Union Limited pada 73 tahun lalu, hanyalah sebuah gabungan syarikat kerjasama kampung masyarakat Melayu.

-Advertisement-

Namun, berbekalkan perjalanan mengorak langkah merentasi era sebelum dan selepas kemerdekaan negara, CBP yang kini disokong oleh 90,000 anggota Bumiputera, memanfaatkan pengalaman dan prinsip memartabatkan ekonomi masyarakat Melayu yang membawa kejayaan dan muncul antara peneraju bank koperasi di Malaysia dengan keseluruhan aset dijangka mencecah RM10 bilion pada separuh kedua 2024.

Titik awal penubuhannya adalah untuk membantu ‘memerdekakan’ golongan pesawah daripada kemelut masalah pinjaman ‘padi kunca’ yang menindas ekonomi mereka dan seterusnya disusuli dengan perjumpaan sekumpulan masyarakat Melayu dengan sebahagian besarnya adalah ahli-ahli syarikat kerjasama kampung di Kampung Pertama, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Bermula daripada aktiviti membeli dan menjual baja bagi meningkatkan hasil pertanian di samping memberi pinjaman supaya ahlinya berupaya membeli ternakan, menyewa tanah, menebus atau membeli tanah, perjalanan ‘perjuangan’ CBP ternyata semakin luas apabila perlu bersaing dengan bank-bank komersial lain yang menawarkan perkhidmatan simpanan, pajak gadai Islam Ar-Rahnu dan perancangan kewangan.

Berkongsi kisah kejayaan CBP dengan Bernama baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Khairil Anuar Mohammad Anuar, berkata keupayaan menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti serta kadar keuntungan kompetitif menjadi tonggak kepercayaan masyarakat Melayu kepada CBP yang dijadikan pilihan utama untuk mendapatkan produk perbankan dan mengembangkan pelaburan mereka.

Ini terbukti menerusi sejarah kewangan CBP yang menunjukkan peningkatan saban tahun walaupun berdepan beberapa krisis seperti pandemik COVID-19.

Pencapaian itu membolehkan CBP mengumumkan pembayaran dividen tertinggi sejak penubuhannya pada 1950 yang mencecah RM58.93 juta pada tahun lalu.

CBP yang digerakkan oleh sokongan lebih 800 pekerja dan 30 cawangan termasuk outlet di seluruh Malaysia, juga terus mencatat peningkatan keuntungan iaitu sebanyak RM103.4 juta pada 2022, RM86.2 juta (2021), RM85.1 juta (2020), RM73.9 juta (2019) dan RM52.7 juta (2018).

Khairil Anuar berkata, ketika institusi lain menghadapi kesukaran mengekalkan pertumbuhan selepas pandemik dan seterusnya tekanan inflasi dan kadar faedah, bank koperasi itu sebaliknya dapat melonjakkan keseluruhan aset sebanyak RM3 bilion kepada RM9 bilion setakat Julai 2023.

“Dalam tempoh kurang daripada dua tahun, kami berjaya mencatat pertumbuhan bersih RM3 bilion iaitu secara kasar kira-kira RM6 bilion. Ini bermakna, kami dapat bergerak pantas dan mengatasi purata industri.

“Pencapaian ini jelas menunjukkan CBP berjaya mencipta dan memecahkan rekod tersendiri,” kata Khairil Anuar yang dilantik menerajui CBP sejak 2021.

Proses mengekalkan trajektori pertumbuhan di landasan ketika persaingan kian sengit dan persekitaran ekonomi yang mencabar bukanlah perkara yang mudah.

Justeru, menyedari keperluan untuk evolusi seiring pertumbuhan industri perbankan, CBP bersedia memaksimumkan pengembangan perniagaan termasuk segmen pembiayaan, Ar-Rahnu, pendigitalan serta memperkukuhkan infrastrukturnya melalui kecekapan sistem dan pekerja yang ditambah baik.

-Advertisement-

Bagi perniagaan pembiayaan, CBP merancang untuk meneliti semula sektor pertanian seiring hasrat kerajaan memperkasa jaminan makanan negara bagi meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan import.

Oleh itu, Khairil Anuar menyifatkan sektor koperasi mempunyai potensi dalam menyokong rantaian sektor pertanian di peringkat industri serta huluan dan hiliran.

“Kami tidak boleh setakat berharap kepada beberapa produk utama, sebaliknya perlu dipelbagaikan. Selain itu, produk kami yang berasaskan fi pula masih belum kukuh,” katanya.

Menyedari kepentingan itu, CBP yang kini hanya menawarkan perkhidmatan Akaun Simpanan-i (SA), turut bercadang untuk memperkenalkan akaun semasa bagi melengkapkan lagi tawarannya.

“Dalam era digital, keperluan semasa tidak lagi bertumpu kepada cek. Bagi menawarkan akaun semasa kami juga perlukan akaun semasa elektronik, bukannya akaun semasa fizikal atau pengeluaran cek,” katanya.

Sejajar usaha untuk menyokong pendigitalannya, bank koperasi juga berhasrat untuk memperkenalkan perbankan mudah alih pada tahun depan.

“Kami berhasrat untuk bermula dengan perbankan mudah alih. Kami tidak boleh mengetepikan aspek digital kerana bank runcit adalah massa dan platform terbaik untuk menjangkau lebih ramai pelanggan,” katanya.

Tidak ketinggalan, Khairil Anuar berkata, unit Ar-Rahru yang kini mempunyai portfolio sebanyak lebih RM350 juta, akan turut diperluas.

Pada masa sama, CBP juga yakin dapat memperkasa modal insan dan memperkemas infrastrukturnya menerusi penyatuan operasi utama di bangunan 14 tingkat yang dibeli di Kuala Lumpur serta bakal diduduki tidak lama lagi.

-BERNAMA

– BH