PETALING JAYA: Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan berkata tindakan India mengehadkan import minyak sawit bertapis dari Malaysia perlu diatasi secara diplomasi agar tidak memberi kesan kepada pekebun kecil, peneroka dan peladang.
Presidennya, Nazara Muda berkata kerajaan perlu mencari jalan supaya tidak menjejaskan harga pasaran sawit negara.
“Dalam situasi begini, hal pembeli adalah negara India. Tetapi kita negara pengeluar kena ada satu urusan diplomasi supaya tidak merugikan pasaran kita ketika harga sekarang ini berada dalam agak baik.
“Pembeli dari India timbulkan ugutan dengan (mahu) kurangkan pembelian dan sebagainya. Kita sebagai negara pengeluar kena ada urusan itu dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohanad perlu jalinkan hubungan agar perkara ini tidak berterusan,” katanya kepada FMT.
Nazara berkata sekiranya tindakan India itu menyebabkan pengeluaran minyak sawit dan harga pasaran jatuh, yang akan menjadi mangsa adalah pekebun kecil khasnya peneroka dan peladang di Malaysia.
Semalam, kerajaan India melaksanakan langkah mengehadkan import minyak sawit bertapis atas alasan bagi melindungi pengusaha kilang penapis tempatan.
Sekatan terhadap sawit RBD (minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau) itu diumumkan Kementerian Perdagangan India.
Sebelum ini, Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) menggesa New Delhi melaksanakan langkah bagi menyokong pengekstrak minyak bijian tempatan berbanding pengimportan minyak sawit bertapis yang lebih murah.
India bergantung kepada pengimportan 70% keperluan minyak masaknya dan minyak sawit Malaysia serta Indonesia yang merangkumi hampir 2/3 daripada import minyak sayuran tahunan negara itu sebanyak 15 juta tan.
Pada 31 Dis lalu, India menurunkan duti import ke atas MSM daripada 40% kepada 37.5%, manakala minyak sawit daripada 50% kepada 45%.
Penapis tempatan turut meminta perbezaan cukai lebih tinggi antara MSM dan produk bertapis.
Malah, sekatan ke atas kelapa sawit RBD itu dilaksanakan ketika kenaikan harga minyak masak. -FMT