‘Bas laju, terhuyung-hayang sebelum terbalik’

Estimate Reading Time: 2 minutes

DUNGUN: “Bas itu bergerak agak laju dan terhuyung-hayang sebelum terbalik,” kata Loh Suat Lee, 38, yang terselamat dalam kemalangan bas persiaran di Kilometer 375.4, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), selepas Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Besi, pagi tadi.

-Advertisement-

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, penumpang bas, Tan Poh Hwa,42, disahkan maut di tempat kejadian, manakala abang iparnya, Choo Chia Tan, 44, meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun, kira-kira jam 9.15 pagi.

Suat Lee berkata, sebelum kemalangan, dia bersama suami dan tiga anaknya berusia antara tiga hingga tujuh tahun serta enam keluarga lain menaiki bas persiaran terbabit dalam perjalanan dari Tampin, Negeri Sembilan untuk bercuti ke Pulau Redang.

“Kami seramai 30 orang daripada tujuh keluarga bertolak dari Tampin kira-kira jam 11.30 malam untuk percutian ke Pulau Redang.

“Bas yang sepatutnya kami naiki rosak dan digantikan dengan bas serta pemandu lain,” katanya.

Suat Lee berkata, sepanjang perjalanan itu, bas terbabit dua kali berhenti rehat dan hentian terakhir di sebuah stesen minyak di Muadzam Shah sebelum meneruskan perjalanan.

“Dalam perjalanan kami semua tidur sebelum dikejutkan dengan keadaan bas terhuyung-hayang ke kiri dan kanan jalan.

“Selepas itu terdengar beberapa kali rempuhan kuat, mungkin kerana bas terlanggar pembahagi lebuh raya sebelum terbalik.

-Advertisement-

“Semua penumpang menjerit ketika itu dan dalam keadaan gelap, kami menyelamatkan diri dengan keluar melalui cermin depan bas,” katanya.

Suat Lee berkata, dia bersyukur suami dan anaknya selamat, namun sedih apabila dua sahabatnya maut dalam kemalangan itu.

Sementara itu, Kenny Tan,41, berkata dia bersama isterinya, Tan Kai Lin,41, dan tiga anak berusia 8,13, dan 14 tahun menyertai percutian itu, bersama dua kakaknya serta anak mereka.

“Saya sedih apabila kakak kedua dan suami kepada kakak sulong meninggal dalam kemalangan itu,” katanya.

Katanya, mereka sepatutnya bercuti di Pulau Redang pada Mac lalu, namun menangguhkan percutian kerana keadaan laut masih bergelora ketika itu.

“Sebaik selesai urusan bedah siasat ini, saya akan membawa mayat mendiang kakak dan abang ipar balik ke Tampin untuk disemadikan,” katanya.

– Berita Harian