YONG PENG 15 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Sebuah bas yang terbakar di Kilometer 137.6 arah utara Lebuhraya Utara-Selatan (E2), dari Yong Peng menuju Pagoh, menyebabkan aliran trafik mengalami kesesakan sejauh 5.8 kilometer petang tadi.
Menurut maklumat trafik PLUS, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada kira-kira jam 2.32 petang.
Kejadian berkenaan menyebabkan lorong kecemasan dan lorong kiri lebuh raya terhalang, sekali gus mengganggu kelancaran trafik bagi kenderaan yang menuju ke arah Pagoh.
-Advertisement-
Susulan insiden itu, pengguna jalan raya dilaporkan berdepan pergerakan trafik yang perlahan dengan kesesakan berlaku sehingga 5.8 kilometer dari lokasi kejadian.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan terjejas serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan petugas lebuh raya bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perjalanan – The Capital Post