Bekalan air mula disalur 5 petang esok secara berperingkat, kata Air Selangor

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna bermula 5 petang esok setelah sistem bekalan air distabilkan.

-Advertisement-

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, kerja-kerja penyenggaraan aset utama di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) bermula 9 pagi tadi dan dijangka siap 11 malam ini.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan.

Air Selangor menambah, bantuan air alternatif disediakan melalui lori tangki ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

-Advertisement-

“Penggguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor atau hubungi Air Selangor di talian 15300,” katanya.

Sebanyak 998 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air berjadual, dijangka selama empat hari bermula hari ini.

Tujuh wilayah itu melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Gangguan itu ekoran pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas LRA SSP1.-FMT