Bekalan diesel mungkin berlebihan di Asia tahun depan

Estimate Reading Time: 2 minutes

SINGAPURA: Bekalan diesel di Asia dijangka meningkat pada 2024 didorong oleh kilang penapisan baharu di Asia Barat dan eksport kukuh dari China, malah berkemungkinan mengatasi pertumbuhan permintaan rantau peneraju dunia itu, kata penganalisis dan sumber perdagangan.

-Advertisement-

Akibatnya, harga diesel dijangka jatuh, bermakna syarikat penapis di Asia berdepan tahun kedua berturut-turut kemerosotan margin keuntungan untuk bahan api berkenaan yang digunakan untuk kereta, trak dan penjana kuasa.

Pada 2022, purata margin keuntungan diesel melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa sebanyak AS$45 setong, berikutan bekalan daripada pengeksport utama Russia terjejas dan inventori global merosot ke paras terendah.

Namun, margin merosot hampir 50 peratus pada 2023 selepas Beijing membenarkan lebih banyak eksport bahan api dan penapisan di seluruh dunia meningkatkan pengeluaran.

Pada 2024, dengan bekalan tambahan, purata margin diesel dijangka susut 23 peratus kepada kira-kira AS$18 setong, menurut unjuran daripada perunding Rystad Energy, Sparta Commodities dan FGE.

Bekalan di Asia, termasuk Asia Barat, dijangka meningkat sekitar 3.8 peratus tahun ke tahun pada 2024, mengikut unjuran daripada Wood Mackenzie.

Margin berkemungkinan menyusut walaupun Asia, diterajui India, kekal sebagai pemacu permintaan diesel global pada 2024 menerusi sektor pengangkutan dan pembinaan, kata penganalisis.

Bekalan diesel dari Asia Barat akan meningkat apabila kilang penapisan baharu Al-Zour di Kuwait dan Duqm di Oman menambah pengeluaran dan eksport.

-Advertisement-

Purata pengeluaran diesel bulanan dijangka meningkat kepada 3.12 juta tong sehari pada 2024 berbanding 3.04 juta tong sehari pada 2023, menurut FGE, manakala pertumbuhan permintaan tahun ke tahun di Asia Barat berkemungkinan tidak berubah.

Eksport bahan api China mungkin meningkat sekurang-kurangnya pada separuh pertama 2024, kata sumber perdagangan dan penganalisis.

Ia berikutan peniaga menjangkakan Beijing akan mengeluarkan lebih banyak kuota yang akan membolehkan syarikat penapisan mengeksport lebihan bekalan dan memanfaatkan harga yang lebih tinggi di luar negara.

Eksport diesel berkemungkinan melonjak lebih 19 peratus pada 2023 berbanding tahun sebelumnya, menyumbang lebih 30 peratus daripada jumlah eksport bahan api ditapis China, demikian mengikut perangkaan kastam China.

– Reuters

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373