Bekas KP DBP ingatkan Dr M pandang ke Timur isu bahasa Sains, Matematik

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengingatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tentang Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkannya, mengatakan sekolah-sekolah di Jepun mengajar dan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda.

-Advertisement-

Mengikut dasar itu, Awang Sariyan berkata Malaysia perlu maju mengikut acuan tersendiri, termasuk penggunaan bahasa kebangsaan dalam pendidikan.

“Sebelum ini Mahathir sangat kagum dengan polisi dan dasar diperkenalkan Jepun, takkanlah Mahathir tidak nampak yang kemajuan Jepun itu disebabkan mereka guna bahasa Jepun?” katanya pada sidang media tentang cadangan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris hari ini.

Mahathir memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur pada 1982 di mana kerajaan akan mengkaji, meneliti, dan memilih contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada Jepun dan Korea Selatan dan mengubahsuaikannya dengan keadaan di Malaysia.

Ia kembali dilaporkan sebagai Dasar Pandang Ke Timur 2.0 pada Jan 2019.

Mahathir, yang memangku portfolio pendidikan, pada 31 Jan lalu mengumumkan bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah.

Kerajaan memperkenalkan PPSMI atau Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada 2003. Dasar itu dihentikan pada 2012.

-Advertisement-

“Tidak perlu buat kajian baru bagi menilai pelaksanaan PPSMI, ambik sahaja kajian yang ada dan terus buat keputusan,” kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, Wan Ramli Wan Daud pada sidang media yang sama hari ini.

Wan Ramli berkata sejak terdapat banyak keterangan yang menunjukkan kegagalan dasar itu sejak ia diperkenalkan pada 2003.

Gerakannya juga sedia menyerahkan hasil penyelidikan mereka kepada kerajaan, tambahnya.

“Kami juga boleh sertakan kajian dari Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA),” katanya.

Sementara itu, Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail pada sidang media yang sama meminta orang ramai jangan gusar dengan pandangan perdana menteri itu.

“Biarkan dia keluarkan pandangannya, namun kita, tetap perlu berani bersuara berhubung perkara ini,” katanya. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373