Bekas Miss Korea lebih cinta kabaddi

Estimate Reading Time: < 1 minute

HANGZHOU: Woo Hee Jun pernah dinobat sebagai ratu cantik di negaranya selain leftenan pertama dalam tentera Korea Selatan tetapi cinta pertamanya tetap terarah kepada sukan kuno India, kabaddi.

-Advertisement-

Pada usia 29 tahun, Hee Jun meraih banyak pengalaman dalam kehidupannya dan kini dia berharap untuk mencipta lebih banyak kejayaan dengan membantu negaranya memenangi pingat kabaddi pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Dia mula jatuh cinta dengan sukan ala sentuhan ragbi itu selepas menyaksikan kanak-kanak bermain di jalanan semasa melawat ke India.

Walaupun dia bekas finalis Miss Korea yang turut berkhidmat selama tiga tahun dalam pasukan tentera khas negaranya, Hee Jun berkata kabaddi adalah “keutamaan pertama dalam hidup saya.”

“Saya fikir kabaddi bagi saya adalah seperti satu laluan,” katanya selepas Korea memulakan kempen mereka di Hangzhou dengan kekalahan 43-23 kepada Thailand semalam.

“Saya menyertai tentera dan saya juga menyertai pertandingan Miss Korea pada tahun 2019, tetapi saya kembali ke kabaddi kerana kabaddi amat bermakna bagi saya apabila anda membandingkannya dengan cabaran lain.”

Sukan itu popular di India, Pakistan dan Iran tetapi Korea berjaya menghuni tangga kelima pada temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.

-Advertisement-

Latar belakang Hee Jun yang pelbagai menarik perhatian media di Korea dan dia berharap dapat menggunakan tumpuan itu bagi mempromosikan kabaddi di negaranya.

“Ia tidaklah amat popular seperti bola sepak atau besbol atau apa sahaja tetapi ia semakin popular berbanding sebelum ini,” katanya.

“Ada peningkatan dalam pembabitan atlet dan jurulatih dan juga pemain yang bagus di sekolah menengah dan universiti dan liga yang berbeza, jadi saya fikir ia akan berkembang lebih lagi.”

Hee Jun berkata, dia jauh lebih gementar sebelum perlawanan kabaddi berbanding ketika dia menyertai Miss Korea pada tahun 2019.

– AFP

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373