Juwaidi terkandas akibat masalah teknikal

Estimate Reading Time: < 1 minute

HANGZHOU: Masalah teknikal mengakibatkan pemanah negara, Mohd Juwaidi Mazuki terkandas di aksi suku akhir lelaki acara individu compound di Sukan Asia Hangzhou, hari ini.

-Advertisement-

Biarpun berdepan dengan pemanah di ranking pertama dunia dari Korea Selatan, Joo Jaehoon, ia langsung tidak menggusarkannya malah yakin mampu untuk menewaskan lawan itu.

Namun sesuatu berlaku ketika panahan pertama end keempat yang menyebabkan Juwaidi tidak dapat melepaskan anak panah dipercayai kerana berlaku masalah teknikal “thumb release” sekali gus menyaksikan dia yang meraih pingat gangsa di Kejohanan Piala Dunia peringkat pertama di Altalya April lalu tewas 135-148.

“Saya tak ada masalah berdepan dengan dia sebab dia pun pemanah junior. Nak salahkan peralatan pun tak ‘best’. Tapi itulah yang terjadi.

“Waktu itu sangat singkat saya tak boleh buat apa-apa. Jadi saya terpaksa lepaskan dan fokus kepada lima panahan seterusnya.

“Sebenarnya memang saya sasarkan acara ini (individu) tapi benda sudah nak jadi, sayanglah,” katanya.

-Advertisement-

Tegas Juwaidi, dia sudah memeriksa kelengkapan sebelum pertandingan berlangsung dan semuanya berada dalam keadaan terbaik dan seharusnya peralatan yang baru digunakan itu tidak mempunyai masalah.

Dia yang akan beraksi dua lagi acara selepas ini iaitu berpasukan campuran dan lelaki menjelaskan bahawa tidak akan menggunakan “thumb release” yang sama di dua lagi kategori yang lain selepas ini.

Jelas Juwaidi kejadian yang berlaku pertama kali sepanjang kariernya itu bagaimanapun tidak mengganggu fokusnya.

“Saya tak terkesan sangat dengan perkara ini dan tak nak ia berlarutan untuk acara seterusnya, nak rehat dulu dan beri semangat kepada rakan pasukan.

“Mereka juga masih lagi junior dan saya tak nak mereka melihat aura negatif itu,” katanya.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427