KUALA LUMPUR: Bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Rizal Mansor bebas daripada 4 tuduhan rasuah berkenaan projek solar Sarawak.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Zaini Mazlan membebaskan Rizal selepas pendakwaraya ad hoc, Gopal Sri Ram memaklumkan pendakwaan menarik balik tuduhan terhadapnya.
“Kami tidak akan kemukakan keterangan terhadapnya dan memohon dia dikeluarkan daripada kandang,” katanya.
Pada April, Rizal dituduh meminta dan menerima suapan bagi dirinya dan isteri Najib, Rosmah Mansor berjumlah RM5.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.
Dia dituduh bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Tuduhan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi. -FMT