Beri wang kepada pelajar IPT terkandas, Pemuda Umno beritahu kerajaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Pemuda Umno mencadangkan bantuan wang tunai bagi pelajar institusi pengajian tinggi yang mengeluarkan belanja awal untuk ke kampus tetapi terkandas ekoran keputusan saat akhir kerajaan.

-Advertisement-

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki meminta kerajaan pertimbangkan bayaran sekali beri sebanyak sekurang-kurangnya RM500, memandangkan pelajar terkesan dan keluarga masing-masing berbelanja untuk pengangkutan dan sewa kediaman, sebelum Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan IPT tangguh pendaftaran secara fizikal kemasukan ke kampus bulan ini.

“Walaupun KPT mempunyai justifikasi kukuh untuk tidak mahu mengambil risiko dengan penularan wabak Covid-19 ketika ini, namun keputusan di saat akhir hakikatnya telah memberi kesan kepada sebahagian besar mahasiswa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemuda Umno amat berharap KPT membawa cadangan ini ke mesyuarat Kabinet minggu ini.

Terdahulu, KPT berkata keputusan menangguhkan kemasukan pelajar baru bagi sesi Oktober ini dalam waktu yang singkat tidak dapat elak berikutan peningkatan kes Covid-19.

-Advertisement-

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Mohamed Mustafa Ishak berkata, keputusan sukar itu dibuat selepas mengambil pandangan serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta semua universiti yang terlibat.

Bagaimanapun, seramai 67,406 pelajar baharu yang terkesan dengan penangguhan itu masih boleh mengikuti sesi orientasi secara dalam talian.

Melihat kepada masalah dihadapi pelajar ini, ramai anggota masyarakat yang prihatin menawarkan penginapan, makanan, dan pengangkutan secara percuma.

Menteri Noraini Ahmad turut memohon maaf atas kesulitan dihadapi pelajar, dan berkata mereka yang sudah tiba di kampus boleh tinggal di situ sementara menunggu arahan lebih lanjut daripada pihak universiti. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373