KESUMA Perkukuh Kerjasama Malaysia-Bangladesh

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA 23 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menzahirkan sokongan terhadap hasil pertemuan dua hala antara YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YAB Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga kerja antara kedua-dua negara.

Menurut KESUMA, hubungan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Bangladesh dalam bidang tenaga kerja terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi negara serta memenuhi keperluan pelbagai sektor strategik yang bergantung kepada tenaga kerja asing.

YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia berkata, kerjasama yang dipertingkatkan itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memastikan pengurusan tenaga kerja yang lebih sistematik, mampan dan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Beliau turut menyambut baik persetujuan Malaysia dan Bangladesh untuk mengadakan semula Mesyuarat Joint Working Group yang akan berfungsi sebagai platform bagi menilai pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) sedia ada, selain membincangkan kerangka MoU baharu yang lebih sesuai dengan perkembangan semasa serta cabaran pasaran buruh global.

Dalam masa yang sama, KESUMA menegaskan komitmennya untuk memastikan proses pengambilan pekerja asing dilaksanakan secara telus, adil dan beretika selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Pendekatan tersebut bertujuan memastikan keperluan industri dipenuhi tanpa mengabaikan aspek kebajikan dan perlindungan pekerja.

-Advertisement-

Kedua-dua negara turut berkongsi pendirian untuk memperkukuh langkah pencegahan terhadap sebarang bentuk eksploitasi, diskriminasi dan amalan pengambilan pekerja yang tidak beretika, sejajar dengan piawaian buruh antarabangsa yang diterima pakai di peringkat global.

Kerjasama yang diperkukuhkan ini dijangka dapat meningkatkan aspek tadbir urus tenaga kerja, keselamatan dan kebajikan pekerja asing, selain memperkukuh perlindungan hak pekerja serta memastikan keperluan tenaga kerja negara terus dipenuhi secara bertanggungjawab dan mampan.

KESUMA akan terus memainkan peranan proaktif dalam memperkemas pengurusan tenaga kerja asing serta memperluaskan jaringan kerjasama strategik dengan negara-negara rakan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan pekerja dan kemakmuran negara secara keseluruhan. – The Capital Post