Bukan minta layanan istimewa, OKU berkerusi roda cuma harap dibantu ketika isi minyak

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Seorang eksekutif pemasaran kesal dengan sikap kurang prihatin pekerja di sebuah stesen minyak di Sarawak baru-baru ini.

-Advertisement-

Menurut Fadelize Givan, 29, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), dia sudah beberapa kali terpaksa mengeluarkan kerusi roda untuk berurusan di stesen minyak.

“Kita semua sedia maklum betapa tingginya kaunter bayaran di stesen minyak, tidak mesra OKU. Untuk masuk ke dalam juga susah bagi kami (warga OKU), sebab itulah saya meminta bantuan pekerja stesen jika perlu mengisi minyak,” katanya kepada BH ketika dihubungi hari ini.
Fadelize berkata beliau sedaya upaya cuba berdikari dalam urusan seharian namun kemudahan di stesen minyak tidak mesra OKU dan mengehadkan pergerakannya.

“Di kawasan saya (Petrajaya, Sarawak), stesen minyak tidak ada pintu automatik untuk memudahkan saya masuk berurusan di kaunter dan kaunter bayaran minyak pula tinggi dan tidak mesra OKU,” katanya.

Sebelum ini dalam satu hantaran di laman sosial, Fadelize berkongsi pengalaman apabila mendakwa dilayan dengan buruk pekerja sebuah stesen minyak yang enggan membantunya mengisi minyak kereta.

“Tujuan saya upload video semalam bukan semata mata untuk mengecam (tindakan mereka) tetapi saya ingin menjelaskan kejadian malam tadi ketika pekerja sebuah stesen minyak bertindak endah tak endah semasa saya panggil meminta bantuan.

“Sampai di stesen tersebut saya terus ke pam di tengah untuk memudahkan saya melambai kepada pekerja untuk meminta tolong walaupun ada sebuah kereta sedang mengisi minyak di pam tersebut. Selesai kereta di hadapan, saya terus ke pam tersebut.

Fadelize berkata beliau melihat ada dua orang pekerja sedang mengukur stok petrol (dipping).

“Oleh itu, saya turunkan tingkap menunggu mereka berdua selesai membuat dipping. Selepas selesai barulah saya memanggil seorang pekerja untuk meminta bantuan mengisi minyak, saya juga ada memberitahu bahawa saya OKU berkerusi roda. …akan tetapi seorang dengan nada yang agak kasar menjawab tiada lagi pekerja di sini.”

Apabila saya menerima respon yang kurang sopan, beliau mengeluarkan kerusi roda untuk membuat pembayaran di kaunter. Selepas melihatnya mengeluarkan kerusi roda, pekerja tersebut datang bertanya dengan nada yang kasar, jumlah yang mahu diisi.

Memandangkan sudah mengeluarkan kerusi roda, Fadelize meneruskan urusan sendiri.

“Semasa saya ingin datang ke kaunter, pekerja di dalam terus keluar dan mengambil duit bayaran serta membantu saya membuat bayaran. Saya mengisi minyak sendiri selepas membuat bayaran walaupun selepas itu pekerja dalam kedai meminta saya duduk dalam kereta.

-Advertisement-

“Saya menolak ketika itu kerana saya sudahpun mengeluarkan kerusi roda dan berada di luar untuk menguruskannya sendiri,” katanya.

Fadelize berharap kejadian yang dilaluinya tidak berulang kerana itu bukanlah kali pertama dan beliau mahu memberi kesedaran kepada semua pekerja di stesen minyak untuk lebih peka terhadap pengguna OKU.

Beliau berkata jika kemudahan di stesen minyak lebih mesra OKU, beliau tidak keberatan melakukan sendiri urusan di sana namun ada beberapa ciri keselamatan yang perlu ditingkatkan.

“Kedudukan pam dan butang kecemasan yang tinggi menyukarkan kami bergerak dan jika berlaku kecemasan, kawasan yang sempit membahayakan kami,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU Sentral) Datuk Ras Adiba Radzi berkata masalah yang dialami Fadelize sering dialami semua pemandu warga OKU seluruh dunia.

“Apa yang boleh kami harapkan adalah bantuan dan simpati pekerja stesen. Adakalanya saya sendiri terpaksa meminta bantuan pengguna lain yang sedang mengepam minyak kerana pekerja stesen tidak dapat membantu,” katanya ketika dihubungi.

Ras Adiba berkata beliau berharap pengusaha stesen minyak lebih prihatin dalam menyediakan bantuan kepada pengguna OKU ketika berurusan di stesen minyak.

“Saya juga menyarankan sahabat-sahabat OKU untuk terus berusaha mendapatkan perhatian orang ramai atau pekerja stesen dengan menggunakan hon kenderaan untuk mendapatkan perhatian mereka, beginilah yang harus kita lalui.

“Sebenarnya yang kurang bukan kami, tetapi keadaan sekeliling dan persepsi masyarakat yang ambil mudah terhadap kami,” katanya.

BH sedang mendapatkan komen Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia dan persatuan pengguna berhubung kemudahan yang patut disediakan kepada OKU.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373