KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan urus niaga hari ini dengan prestasi lebih kukuh meskipun pasaran Wall Street mencatatkan penurunan semalaman, disokong oleh sentimen domestik yang kekal memberangsangkan.
Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.13 mata kepada 1,750.39 mata selepas dibuka rendah 1.84 mata pada 1,746.42 mata, berbanding 1,748.26 mata ketika ditutup semalam.
Secara keseluruhan pasaran, kaunter untung dan rugi masing-masing merekodkan 168 kaunter, manakala 304 kaunter tidak berubah. Sebanyak 1,995 kaunter tidak diniagakan dan enam kaunter digantung. Jumlah dagangan mencecah 156.18 juta saham dengan nilai RM88.01 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata, susulan penurunan prestasi Wall Street, FBM KLCI dijangka turut menerima tempias. Namun begitu, perbezaan kadar faedah antara Amerika Syarikat dan Malaysia yang menggalakkan, selain aliran masuk dana asing yang positif, dijangka menyokong nilai ringgit dan seterusnya memberi isyarat positif kepada sektor perbankan serta pengguna.
“Oleh itu, kami percaya Public Bank Bhd yang ketinggalan di belakang saham perbankan lain memberikan pendedahan kepada ringgit, manakala 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd dan Life Water Bhd merupakan proksi kepada tema Melawat Malaysia 2026, selain persekitaran kos input yang dijangka lebih rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Selain Sabah yang dilihat sebagai destinasi pelancongan strategik, firma itu turut menyatakan nisbah harga kepada pendapatan hadapan Life Water kekal rendah berbanding Spritzer Bhd, sekali gus membuka ruang untuk potensi peningkatan jangka pendek.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB meningkat 6.0 sen kepada RM8.62, Tenaga Nasional menambah 4.0 sen kepada RM14.16 dan IHH Healthcare naik 2.0 sen kepada RM8.90. Sementara itu, Maybank dan Public Bank masing-masing kekal tidak berubah pada RM11.94 dan RM4.95.
-Advertisement-
Bagi saham aktif, Pharmaniaga naik setengah sen kepada 33 sen, MLABS Systems susut 1.5 sen kepada 3.0 sen dan TWL Holdings berkurangan 0.5 sen kepada 2.0 sen. Malaysian Resources Corporation dan Pegasus Heights pula tidak mencatatkan perubahan masing-masing pada 34 sen dan setengah sen.
Kaunter paling untung menyaksikan United Plantations melonjak 12 sen kepada RM29.30, diikuti GuocoLand (Malaysia) yang naik 10.5 sen kepada RM1.04 dan Malayan Cement meningkat 10 sen kepada RM8.35. Alliance Bank Malaysia serta Sunway Construction Group masing-masing menambah 6.0 sen kepada RM5.31.
Sebaliknya, Petronas Gas menjadi antara kaunter paling rugi apabila susut 24 sen kepada RM18.30, Petronas Dagangan turun 8.0 sen kepada RM20.24 dan UWC berkurangan 7.0 sen kepada RM4.33. MNRB Holdings dan PPB Group masing-masing merosot 6.0 sen kepada RM2.40 dan RM11.04.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 13.63 mata kepada 12,610.95, Indeks FBM Emas naik 13.0 mata kepada 12,789.41 dan Indeks FBM Mid 70 melonjak 11.30 mata kepada 17,489.04. Indeks FBM Emas Shariah bagaimanapun susut 0.61 mata kepada 12,296.96, manakala Indeks FBM ACE merosot 4.55 mata kepada 4,702.50.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 45.45 mata kepada 21,569.90, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.10 mata kepada 177.54, Indeks Perladangan naik 3.93 mata kepada 8,376.98 dan Indeks Tenaga melonjak 2.55 mata kepada 752.63.
-Beritaharian