ALOR SETAR: Kedah FA mendapatkan khidmat penyerang Nigeria, Chukwu Chijioke, bagi memperkasakan barisan serangan pasukan menjelang baki saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.
Pemain berusia 29 tahun itu, yang pernah menyarung jersi Terengganu FC pada musim 2024/2025, diyakini mampu memberikan impak segera kepada jentera serangan skuad kendalian Victor Andrag.
“Beliau memiliki pengalaman beraksi di pentas domestik, dan akan hadir sebagai satu elemen penting untuk melengkapkan jentera serangan.
“Kehadirannya dijangka memberi dimensi baharu, tenaga segar dan ancaman berterusan kepada pertahanan lawan,” menurut kenyataan Kedah FA.
Kemasukan Chijioke dilihat sebagai langkah strategik untuk menambah variasi serta ketajaman serangan pasukan yang ketika ini masih mencari konsistensi di hadapan gawang lawan.
-Advertisement-
Sementara itu, Victor berharap sentuhan penyerang itu mampu meningkat lagi jumlah jaringan pasukannya yang sekadar meledak 25 gol daripada 19 perlawanan.
“Saya berharap dengan pengalamannya dapat membantu pasukan terutama menangani ketumpulan penyudah,” katanya.
-BeritaHarian