Bursa Malaysia dibuka lemah, kekal bawah 1,400 mata

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini seiring dengan prestasi lemah pasaran serantau utama lain yang mengambil petunjuk daripada pergerakan semalaman Wall Street.

-Advertisement-

Pada jam 9.06 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.09 mata kepada 1,391.41 daripada penutupan Khamis pada 1,397.50, selepas memulakan dagangan 2.21 mata lebih rendah pada paras 1,395.29.

Pergerakan harga di pasaran negatif, menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 233 berbalas 64, manakala 180 kaunter tidak berubah, 1,906 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 99.0 juta unit bernilai RM43.49 juta.

Bursa Malaysia dibuka rendah
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen pasaran tempatan dijangka kekal tidak menentu kerana pelabur terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat di tengah-tengah tekanan makroekonomi yang semakin meningkat.

“Walau bagaimanapun, kami meramalkan kemunculan sokongan belian sederhana dalam saham wajaran tinggi indeks berikutan aktiviti memperelok akaun,” kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM4.20 dan RM8.39, Maybank susut tiga sen menjadi RM8.53, CIMB merosot enam sen kepada RM5.09, IHH Healthcare lebih rendah lima sen kepada RM5.87 dan TNB lemah tujuh sen kepada RM8.18.

-Advertisement-

Bagi saham aktif, XL Holdings menokok setengah sen kepada 68.5 sen, Green Ocean dan Kejuruteraan Asastera, kedua-duanya tidak berubah pada satu sen dan 45.5 sen, manakala Bina Puri dan PT Resources masing-masing turun setengah sen untuk mencatatkan harga tiga sen dan 43 sen.

Sementara itu, Top Glove dan Cnergenz jatuh satu sen, masing-masing kepada 57.5 sen dan RM1.03.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 41.68 mata menjadi 9,939.76, FBM 70 menguncup 50.39 mata kepada 12,105.19 dan Indeks FBMT 100 kerugian 41.96 mata kepada 9,693.15.

Indeks FBM Emas Syariah juga turun sebanyak 45.12 mata kepada 9,996.73 manakala FBM ACE susut 28.46 mata kepada 4,631.59.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga merosot 2.99 mata kepada 668.51, Indeks Perladangan turun 10.29 mata menjadi 6,494.21, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 60.1 mata kepada 15,822.24 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lega 0.53 mata kepada 169.44.

-BERNAMA -BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279