Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum susut

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pagi ini tetapi turun dalam beberapa minit dagangan, sekali gus menggambarkan kebimbangan pelabur dengan potensi kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada mesyuaratnya yang akan berlangsung lewat hari ini, kata seorang peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.51 mata kepada 1,461.18 daripada 1,463.69 penutup Selasa.

Indeks penanda aras memulakan urus niaga pagi ini pada paras 1,464.13, meningkat 0.44 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung dengan 161 berbalas 129, manakala 222 kaunter tidak berubah, 1,778 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 176.28 juta unit bernilai RM62.93 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya hari ini menyatakan pelabur juga sedang bersedia untuk berhadapan dengan lebih banyak ketidakpastian dalam tempoh terdekat menjelang pengeluaran data keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS suku kedua pada keesokan hari.

“Justeru, saham yang mempunyai ciri-ciri defensif dijangka menjadi tumpuan,” jelasnya.

-Advertisement-

“Bagi komoditi, harga minyak mentah Brent dan minyak sawit mentah (MSM) dilihat stabil, masing-masing sekitar AS$104 setong dan RM3,700 satu tan,”‘ katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah, masing-masing mencatatkan RM8.79, RM4.60 dan RM 6.43, manakala Petronas Chemicals susut setengah sen kepada RM8.57 dan CIMB Group turun satu sen kepada RM5.19.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik dan Sapura Energy juga kekal, masing-masing pada 11 sen dan 4.5 sen, manakala Metronic Global, Pertama Digital dan Destine meningkat setengah sen setiap satu kepada 10.5 sen, 88 sen dan 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 14.24 mata menjadi 10,361.51, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 20.50 mata menjadi 10,401.49, Indeks FBMT 100 berkurangan 15.70 mata kepada 10,118.15, FBM ACE lebih rendah 23.82 mata kepada 4,705.88 dan FBM 70 turun 12.18 mata menjadi 12,391.50.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 6.57 mata kepada 6,843.19, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 2.12 mata kepada 16,483.90, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 0.69 mata kepada 176.71, manakala Indeks Tenaga meningkat 3.09 mata kepada 644.17.

-BERNAMA -BH