Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum susut

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi tetapi merosot kemudiannya, mengambil petunjuk daripada pasaran global yang lemah selepas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) mengulangi pendiriannya yang menyokong kadar faedah tinggi dalam minit mesyuarat terkininya.

-Advertisement-

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.32 mata kepada 1,602.40 daripada 1,604.72 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks barometer dibuka tinggi 0.79 mata kepada 1,605.51.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 226 berbanding 120 manakala 230 kaunter tidak berubah, 1,660 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 124.98 juta bernilai RM66.11 juta.

Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, berdasarkan prestasi semalaman Wall Street yang negatif, beberapa aktiviti pengambilan untung dijangka berlaku di peringkat tempatan, terutama dalam kalangan saham teknologi.

Dalam satu lagi nota penyelidikan, firma broker itu berkata, harga minyak mentah merosot kepada sekitar AS$101 setong selepas ahli Agensi Tenaga Antarabangsa (EIA) bersetuju untuk mengeluarkan minyak daripada rizab kecemasan mereka manakala niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) terus kekal melebihi RM5,900 satu tan.

“Kita mungkin menyaksikan kemerosotan dalam sektor minyak dan gas (O&G) berikutan perubahan harga minyak dan peniaga dijangka mengelak saham teknologi berdasarkan persekitaran yang lebih menyokong kadar faedah tinggi pada masa depan.

“Bagaimanapun, kami menjangka sektor yang mencatatkan pemulihan terus positif dalam persekitaran pemulihan dalam aktiviti ekonomi berikutan pembukaan semula sempadan,” katanya, sambil menambah peniaga juga dijangka melihat sektor pembinaan dan bahan binaan, menempatkan diri mereka menjelang pilihan raya umum.

-Advertisement-

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot empat sen kepada RM8.85, Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.70 dan CIMB Group susut tiga sen kepada RM5.28.

Petronas Chemicals meningkat 11 sen kepada RM10.10 dan IHH Healthcare naik enam sen kepada RM6.45.

Daripada saham aktif, Dagang Nexchange berkurangan dua sen kepada RM1.08, Tanco dan MBSB, masing-masing naik setengah sen kepada 40.5 sen dan 64.5 sen manakala Techna-X dan TWL, masing-masing tidak berubah pada 8.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 berkurangan 21.39 mata kepada 11,180.22, Indeks FBM Emas merosot 23.17 mata kepada 11,526.87 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 23.12 mata kepada 12,176.29.

FBM 70 jatuh 47.89 mata kepada 14,033.76 dan FBM ACE berkurangan 26.15 mata kepada 5,844.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 37.73 mata kepada 16,758.02 dan Indeks Perladangan berkurangan 16.87 mata kepada 8,300.67 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.20 mata kepada 211.83.

-BERNAMA -BH