Bursa Malaysia meningkat walaupun Wall Street hambar

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat walaupun Wall Street semalaman mencatatkan mendatar selepas data inflasi Amerika Syarikat (AS) pada Disember lebih tinggi daripada jangkaan, mewujudkan persoalan baharu mengenai landasan Rizab Persekutuan (Fed) terhadap kadar faedah.

-Advertisement-

Pada 9.09 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.09 mata kepada 1,484.09 daripada 1,483.00 pada Khamis.

FBM KLCI dibuka tinggi 0.24 mata kepada 1,483.24.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 169 berbanding 164 manakala 304 kaunter tidak berubah, 1,582 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 264.85 juta unit bernilai RM127.67 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata susulan Wall Street semalaman mencatatkan mendatar, Dow Jones Industrial Average naik 13.3 mata atau 0.04 peratus manakala Nasdaq hampir tidak berubah.

“Di Asia, indeks utama ditutup kebanyakannya tinggi dengan kenaikan yang kukuh di Jepun didorong oleh jangkaan bahawa Bank of Japan akan mengekalkan dasar kadar faedah rendah dalam masa terdekat.

“Di Hong Kong, saham meningkat semula berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah dan saham teknologi yang pulih. Sehubungan itu, Indeks Hang Seng menambah 205 mata atau 1.3 peratus untuk ditutup melebihi paras 16,000,” katanya kepada Bernama.

Dalam negara, Pak Leng menjangka belian saham tempatan akan berterusan, berdasarkan sokongan yang kukuh daripada dana asing dan sentimen pasaran yang lebih baik.

-Advertisement-

“Kami menjangka FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,480 hingga 1,490 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM9.01, CIMB naik tiga sen kepada RM5.98, Petronas Chemicals menambah lima sen kepada RM6.93, Public Bank merosot satu sen kepada RM4.29 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM10.44.

Daripada saham aktif, Sarawak Cable naik 2.5 sen kepada 33 sen, Ekovest menambah dua sen kepada 56.5 sen, Sarawak Consolidated meningkat satu sen kepada RM1.13 manakala Hong Seng Consolidated dan Eastern & Oriental, masing-masing tidak berubah pada dua sen dan 75 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 naik 0.99 mata kepada 15,115.46, Indeks FBMT 100 meningkat 6.05 mata kepada 10,735.57, Indeks FBM Emas Shariah menambah 13.06 mata kepada 11,250.41 dan Indeks FBM Emas menokok 6.23 mata kepada 11,089.39, bagaimanapun Indeks FBM ACE merosot 10.14 mata kepada 5,404.48.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.56 mata kepada 175.59, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 0.67 mata kepada 16,537.32, Indeks Tenaga menambah 3.44 mata kepada 866.06, Indeks Perladangan menokok 7.85 mata kepada 7,138.47, bagaimanapun Indeks Hartanah merosot 2.31 mata kepada 885.83.

– BERNAMA

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373