Bursa Malaysia terus melonjak, kekal atas 1,600 mata

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran menaik untuk dibuka lebih tinggi pada sesi dagangan awal hari ini, dirangsang oleh minat belian berterusan daripada dana asing walaupun Wall Street mempamerkan prestasi semalaman yang tidak menentu, kata seorang peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 9.17 mata kepada 1,612.37 daripada 1,603.20 pada penutup semalam, selepas dibuka 6.72 mata lebih tinggi kepada 1,609.92.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mendahului kaunter rugi 242 berbanding 169, manakala 279 kaunter tidak berubah, 1,548 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 352.10 juta unit bernilai RM225.77 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan dijangka mengekalkan prestasi positifnya kerana momentum belian kemungkinan berlanjutan berikutan keadaan turun naik yang terkawal di Wall Street.

“Saham berharga murah dijangka kekal disokong oleh rangkaian pengumuman pendapatan korporat yang mungkin menyediakan beberapa peluang dagangan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu nota.

-Advertisement-

Saham wajaran tinggi KL Kepong meningkat 92 sen kepada RM26.52, Sime Darby Plantation mengukuh 10 sen kepada RM4.74, MISC menambah 12 sen kepada RM7.11, Maybank naik tiga sen kepada RM8.72, manakala Public Bank susut satu sen kepada RM4.40.

Bagi saham aktif, Vortex Consolidated menokok 1.5 sen kepada 8.5 sen, Dagang NeXchange kekal pada RM1.27, dan SMTrack susut satu sen kepada 21.5 sen.

Di papan indeks, FBM ACE meningkat 28.82 mata kepada 6,304.88, FBM 70 menambah 15.72 mata kepada 13,773.09, Indeks FBM Emas memperoleh 50.90 mata kepada 11,492.84, Indeks FBMT 100 meraih 52.52 mata kepada 11,180.72 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 67.02 mata kepada 12,237.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 36.37 mata kepada 16,533.75, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 0.29 mata lebih baik pada 213.09, dan Indeks Perladangan melonjak 140.06 mata kepada 7,812.10.

-BERNAMA -BH