Bursa menjunam pada pembukaan dagangan 2023

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 3 Jan 2023 (The Capital Post): Bursa Malaysia dibuka rendah pada hari pertama dagangan 2023, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lemah.

-Advertisement-

Pada 9.18 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 11.11 mata kepada 1,484.38 daripada 1,495.49 pada Jumaat lalu. Pasaran ditutup pada Isnin untuk menggantikan cuti Tahun Baharu yang jatuh pada Ahad.

Saham pandu pasaran dibuka rendah 6.95 mata kepada 1,488.54.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 214 berbanding 200 manakala 303 kaunter tidak berubah, 1,498 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 744.51 juta unit bernilai RM150.58 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng menjangka belian saham akan berterusan berikutan pasaran memasuki 2023 dengan portfolio baharu, menjangka indeks diniagakan dalam julat antara 1,490 hingga 1,500.

“Saham pembinaan dijangka menyaksikan minat belian pada hari ini berikutan kami mendapati terdapat aliran berita yang positif manakala saham minyak dan gas dijangka turut menarik minat belian dengan harga minyak mentah Brent diniagakan hampir US$86 setong,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Hong Leong Bank tidak berubah pada RM20.56, Maybank merosot dua sen kepada RM8.68, Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.31, Petronas Chemicals susut tujuh sen kepada RM8.53, CIMB merosot empat sen kepada RM5.76 dan TNB turun 19 sen kepada RM5.76.

-Advertisement-

Bagi saham aktif, L&P Global yang mula disenaraikan di Pasaran ACE melonjak 18 sen kepada 48 sen, Cypark dan Vinvest Capital, masing-masing naik setengah sen kepada 47.5 sen dan 19.5 sen, Top Glove meningkat 1.5 sen kepada 92 sen, MMAG tidak berubah pada 2.5 sen dan Berjaya Corp merosot setengah sen kepada 29.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 56.15 mata kepada 10,645.40, Indeks FBMT 100 berkurangan 59.32 mata kepada 10,360.48 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 79.83 mata kepada 10,858.72.

Sementara itu, Indeks FBM 70 naik 4.39 mata kepada 13,019.41 dan Indeks FBM ACE menambah 3.81 mata kepada 5,312.14.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 41.36 mata kepada 16.459.95, Indeks Perladangan berkurangan 64.86 mata kepada 7,019.82, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.63 mata kepada 181.15 manakala Indeks Tenaga naik 3.68 mata kepada 779.87.

– Bernama -BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279