Covid-19: Jabatan Kesihatan Johor nafi arah sekolah tutup

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) tidak pernah mengarah penutupan sebuah sekolah jenis kebangsaan (Cina) di Johor Bahru mahupun menghalang murid sekolah itu daripada menghadiri kelas berikutan ancaman jangkitan Covid-19, kata Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.

-Advertisement-

“Pihak jabatan menafikan tindakan yang diambil adalah atas arahan jabatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi dalam akaun rasmi Facebook JKNJ, malam tadi.

Beliau mengulas berita yang tular di media sosial mengenai seorang murid di sekolah berkenaan yang ibu bapanya disahkan positif Covid-19. Berita itu menyatakan pihak sekolah mengambil tindakan tutup kelas dan melarang murid mendekati kelas.

“Pihak sekolah mendapat maklumat daripada sumber lain yang belum disahkan dan mengambil tindakan pencegahan jangkitan sendiri,” katanya.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, Aman berkata, sekolah terbabit adalah sekolah seorang kanak-kanak yang merupakan kontak kepada kes virus itu yang dirawat di Singapura sejak 10 Feb lepas.

“JKNJ menjalankan pengesanan kontak kes Covid-19, termasuk langkah-langkah pencegahan dan kawalan di kediaman kes. Terdapat 3 kontak rapat yang dikenal pasti, iaitu isteri dan 2 orang anak, berumur 6 dan 8 tahun,” katanya.

Katanya, hasil siasatan ke atas kedua-dua kanak-kanak itu mendapati mereka negatif jangkitan Covid-19 dan masih diisolasi di hospital sebagai kontak kes positif, manakala status isteri pesakit masih dalam siasatan hospital. -FMT