Dagangan Bursa Malaysia bermula positif

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat, dengan mengambil petunjuk daripada prestasi positif di Wall Street dalam tempoh semalaman serta pergerakan di bursa-bursa serantau, kata peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.45 mata kepada 1,434.50 daripada 1,431.05 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.25 mata lebih tinggi kepada 1,431.30.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 131 berbanding 95, manakala 167 kaunter tidak berubah, 1,896 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 77.59 juta unit bernilai RM33.11 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata dagangan di ketiga-tiga indeks utama di Wall Street tidak menentu sebelum mencatatkan peningkatan berterusan yang kukuh semasa saat-saat akhir untuk ditutup pada prestasi positif.

“Kebimbangan mengenai inflasi masih ketara walaupun Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) melonjak 194 mata dan Nasdaq meningkat 179 mata,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata, hasil berjangka 10 tahun AS terus susut dan berakhir pada 3.09 peratus.

-Advertisement-

Di peringkat tempatan, FBM KLCI dijangka bergerak dalam fasa tidak banyak berubah dan berada julat 1,430 hingga 1,445 hari ini susulan sentimen berhati-hati ketika ini, katanya.

“Sementara itu, harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat semula untuk mencecah paras RM4,900 satu tan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing naik tiga sen kepada RM8.59 dan RM4.43, CIMB menambah satu sen kepada RM4.91 manakala Petronas Chemicals turun empat sen kepada RM9.11 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.36.

Bagi saham aktif, Xidelang Holdings kekal tidak berubah pada dua sen, Dagang NeXchange naik setengah mata kepada 75.5 sen dan Tafi Industries meningkat dua sen kepada 49 sen, manakala Straits Energy dan Msian Genomics masing-masing menambah 1.5 sen kepada 12.0 sen dan 77.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah naik 25.43 mata kepada 10,378.41; FBM 70 meningkat 48.08 mata kepada 12,391.96; Indeks FBM Emas menokok 26.94 mata kepada 10,234.18; Indeks FBMT 100 naik 27.49 mata kepada 9,976.59 bagaimanapun FBM ACE susut 3.86 mata kepada 4,742.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 46.94 mata kepada 15,967.53 manakala Indeks Perladangan merosot 15.74 mata kepada 6,938.54 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.18 mata kepada 181.10.

-BERNAMA -BH