Dagangan Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur tetapi menjadi tinggi kemudiannya hari ini berikutan pasaran meningkat semula daripada penurunan selama tujuh hari berturut-turut dengan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai ketegangan geopolitik.

-Advertisement-

Selain itu, kebimbangan berterusan mengenai jangkaan kenaikan kadar faedah dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang akan datang.

Pada 9.06 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.86 mata kepada 1,511.77 daripada 1,508.91 pada Selasa, selepas dibuka rendah 0.13 mata kepada 1,508.78.

Di Bursa Malaysia, suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 150 berbanding 97 manakala 201 kaunter tidak berubah, 1,832 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 100.62 juta unit bernilai RM50.18 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata walaupun terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah, sentimen pasaran secara keseluruhannya terus goyah dan masih bergantung kepada turun naik serantau.

“Walaupun paras 1,500 dilihat sebagai paras sokongan yang agak berdaya tahan, jika melepasinya, kita akan melihat paras sokongan seterusnya berada pada sekitar paras 1,480,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Wall Street menghadapi satu lagi hari yang tidak menentu apabila ketiga-tiga indeks utama ditutup dalam julat negatif menjelang dasar Rizab Persekutuan AS yang lebih ketat.

-Advertisement-

Dow Jones Industrial Average (DJIA) merosot 67 mata manakala Nasdaq berkurangan 316 mata kepada hanya melebihi paras 13,500.

Dari segi komoditi, Pak Leng berkata harga minyak sawit mentah terus tinggi melebihi paras RM5,400 manakala harga minyak mentah Brent naik sekitar AS$88 setong.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare, masing-masing menambah satu sen kepada RM8.24, RM8.91, RM6.34, Public Bank dan CIMB, masing-masing meningkat dua sen kepada RM4.20 dan RM5.27 manakala Tenaga dan PMetal, masing-masing naik empat sen kepada RM9.10 dan RM6.04.

Bagi saham aktif, Pertama Digital menambah setengah sen kepada 64.5 sen, Dagang Nexchange naik 2.5 sen kepada 88.5 sen dan Senheng meningkat dua sen kepada 87.5 sen.

Di papan indeks, FBM ACE naik 21.29 mata kepada 5,992.29, FBM 70 meningkat 25.54 mata kepada 13,356.56 manakala Indeks FBM Emas menambah 20.21 mata kepada 10,843.54, Indeks FBMT 100 menokok 20.02 mata kepada 10,561.61 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 15.81 mata kepada 11,516.60.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 41.42 mata kepada 15,702.32, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.29 mata kepada 198.91 manakala Indeks Perladangan merosot 5.93 mata kepada 6,625.38.

-BERNAMA -BH