Dagangan Bursa Malaysia dibuka tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada Selasa dalam dagangan berhati-hati, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang kukuh akibat peningkatan saham-saham teknologi selain prospek lebih banyak sekatan dikenakan ke atas Russia.

-Advertisement-

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.65 mata kepada 1,599.57 daripada 1,598.92 pada akhir urus niaga semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 2.74 mata kepada 1,601.66.

Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 258 berbanding 100 manakala 250 lain tidak berubah, 1,629 tidak berubah dan 10 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 153.20 juta bernilai RM76.27 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, FBM KLCI mencatat prestasi lebih rendah berbanding pasaran serantau dengan indeks utama diniagakan di bawah 1,600 susulan aktiviti pengambilan untung bagi saham wajaran tinggi terpilih semalam.

“Kami menjangkakan pasaran kekal tidak menentu dalam masa terdekat ini ketika pelabur terus memantau perkembangan membabitkan tindakan negara-negara Barat melaksanakan lebih banyak sekatan ke atas Russia susulan pencerobohannya ke atas Ukraine.

“Bagaimanapun, risiko penurunan itu diunjur dapat ditampung dengan aliran masuk dana asing secara berterusan,” katanya.

Firma pembrokeran itu turut mengulas tindakan Kesatuan Eropah yang menerima vaksinasi COVID-19 Malaysia dan disifatkan sebagai amat positif bagi kemajuan sektor penerbangan negara.

Bagi komoditi, minyak mentah serta minyak sawit mentah (MSM) kekal diniagakan tinggi seiring dengan permintaan global yang kukuh.

-Advertisement-

Menurutnya, peningkatan semula harga niaga hadapan MSM akan menyaksikan saham-saham perladangan diniagakan tinggi hari ini.

“Pelabur juga dijangkakan memberi tumpuan ke atas sektor pembinaan, bahan binaan dan hartanah susulan janji niaga berkaitan lebuh raya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM8.98, Petronas Chemicals dan IHH Healhcare masing-masing menambah satu sen kepada RM9.71 dan RM6.29 manakala Public Bank dan CIMB Group masing-masing susut satu sen kepada RM4.69 dan RM5.29.

Bagi saham aktif, BCM Alliance dan Techna-X naik setengah sen kepada empat sen dan 8.5 sen, Pappajack meraih 1.5 sen kepada 47.5 sen, Sapura Energy dan Top Builders masing-masing tidak berubah pada empat sen dan dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 meningkat 17.62 mata kepada 11,161.83, Indeks FBM Emas menambah 20.27 mata kepada 11,500.43 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 46.80 mata kepada 12,126.33.

FBM 70 pula melonjak 75.24 mata kepada 14,016.34 dan FBM ACE meraih 7.66 mata kepada 5,778.72.

Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.05 mata kepada 208.46, Indeks Perladangan naik 38.28 mata kepada 8,118.60 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 26.96 mata kepada 16,795.11.

-BERNAMA -BH