Dagangan Bursa Malaysia dibuka tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada awal dagangan Selasa ketika harga minyak mentah terus menyaksikan aliran kenaikan biarpun Wall Street dan pasaran serantau mencatat prestasi lemah, kata seorang peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.84 mata kepada 1,588.68 daripada 1,583.84 pada akhir dagangan semalam selepas dibuka naik 2.12 mata kepada 1,585.96.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 241 berbanding 133 manakala 269 kaunter lain tidak berubah, 1,569 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 223.30 juta unit bernilai RM116.13 juta.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran tempatan meneruskan aliran peningkatannya untuk hari kelima berturut-turut biarpun pasaran serantau mencatatkan prestasi lebih lemah.

“Pasaran kini menyaksikan pembelian yang lebih ketara. Oleh itu, kami menjangkakan berlakunya beberapa aktiviti pengambilan untung pada bila-bila masa.

“Kami turut mengunjurkan indeks utama itu bergerak dalam jajaran 1,575 hingga 1,590 pada hari ini,” katanya kepada Bernama.

-Advertisement-

Saham wajaran tinggi Press Metal dan Sime Darby Plantation masing-masing naik sembilan sen kepada RM6.79 dan RM4.33, IHH Healthcare menokok tujuh sen kepada RM6.57 manakala PPB Group meningkat 30 sen kepada RM16.90.

Bagi saham aktif, Sapura Energy kekal tidak berubah pada 4.5 sen, Dagang NeXchange naik dua sen kepada RM1.17, AHB menambah 1.5 sen kepada 23 sen manakala KNM naik setengah sen kepada 18.5 sen.

Di papan indeks, FBM ACE susut 7.77 mata kepada 6,241.73, FBM 70 sebaliknya meningkat 44.64 mata kepada 13,704.70, Indeks FBM Emas meraih 36.58 mata kepada 11,358.30, Indeks FBMT 100 naik 34.13 mata kepada 11,040.18 manakala Indeks FBM Emas Syariah menokok 56.1625.70 mata kepada 12,078.93.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 8.80 mata kepada 16,392.16, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.34 mata kepada 211.77 manakala Indeks Perladangan melonjak 76.03 mata kepada 7,361.39.

-BERNAMA -BH