Dakwaan Unsur Bertentangan Islam, Usahawan Dipanggil Bantu Siasatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) sedang pada peringkat akhir melengkapkan kertas siasatan kes seorang usahawan yang juga pempengaruh media sosial di negeri ini didakwa menganjurkan majlis sambutan ulang tahun kelahiran bertema ‘Perkampungan Bunian’, baru-baru ini.

Ia berikutan majlis yang dilaporkan menelan perbelanjaan mencecah RM500,000 itu disyaki bercanggah ajaran Islam.

Menurut sumber, pegawai penyiasat JAHEAIK mungkin akan memanggil saksi-saksi lain bagi membantu siasatan sekiranya memerlukan maklumat tambahan.

Katanya, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Ketua Pendakwa Syarie sebaik saja ia dilengkapkan.

“Jika pendakwa syarie bersetuju, kes itu akan difailkan di Mahkamah Syariah untuk pertuduhan mengikut Seksyen 12 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan,” katanya.

Seksyen 12 enakmen itu memperuntukkan bahawa mana-mana individu menasihati, menggalakkan atau menghasut orang lain untuk melakukan perbuatan yang dianggap tidak bermoral atau bertentangan ajaran Islam, adalah melakukan suatu kesalahan.

-Advertisement-

Sumber itu berkata, sekiranya didapati bersalah kerana menggalakkan perbuatan dianggap bercanggah ajaran Islam menerusi penganjuran majlis berkenaan, wanita itu boleh dihukum denda hingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Semalam, media melaporkan wanita berusia 34 tahun itu dipanggil JAHEAIK berhubung majlis sambutan ulang tahun kelahiran bertema ‘Perkampungan Bunian’ untuk anak-anak perempuannya dengan kos kira-kira RM500,000.

Wanita itu dipanggil memberi keterangan susulan majlis terbabit disyaki ada unsur yang dianggap tidak selaras ajaran Islam.

Majlis itu yang diadakan di kediamannya di Tumpat, baru-baru ini, tular dalam media sosial selepas video dan gambar acara berkenaan dikongsikan secara meluas.

Ia diadakan sempena ulang tahun kelahiran tiga anak perempuannya, dengan tema yang mengambil inspirasi daripada filem berkaitan makhluk mistik. – Berita Harian