Dewan Rakyat tumpu rang undang-undang bacaan kedua hari ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini diteruskan dengan beberapa rang undang-undang dibentangkan untuk bacaan kali kedua, termasuk Rang Undang-Undang Kewangan 2023.

-Advertisement-

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat di laman rasmi Parlimen, rang undang-undang yang dijangka dibentang dan dibahaskan adalah Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Turut dijangka dibentangkan Rang Undang-Undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, serta Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023.

Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada hari ini.

-Advertisement-

Pada 28 Februari lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul memaklumkan persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 ditambah dua hari lagi iaitu pada 3 dan 4 April, menjadikan tempoh bersidang keseluruhan selama 31 hari.

Keputusan itu dibuat bagi membolehkan beberapa rang undang-undang dan urusan kerajaan dapat dibentangkan dan diputuskan di Dewan Rakyat. – Bernama