Dua pengarah syarikat didakwa tipu urusan jual beli sarung tangan RM7 juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Dua pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung pembekalan sarung tangan berjumlah RM7 juta, tahun lalu.

-Advertisement-

Kedua-dua tertuduh, Razalif Mohamad Zain, 30, dan Mohd Razimi Ramli, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Razalif dan Mohd Razimi didakwa menipu Mohammad Nor Sakhawi Mohd Subri yang juga pengarah syarikat Monosa Holding Sdn Bhd dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa syarikat mereka boleh membekalkan kira-kira 670,000 kotak sarung tangan Hartalega Nitrile Examination Glove sedangkan dalam pengetahuan mereka tidak dapat membekalnya.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan RM7 juta yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu kepada kedua-dua tertuduh sekiranya tidak diperdayakan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Taman Connaught, Cherasdi sini, antara Jun 2020 hingga Julai 2020.

-Advertisement-

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashraf Appoo.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac ini bagi sebutan semula kes.

-BH