Negeri Sembilan peruntukkan RM2 juta biayai peranti percuma

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN: Pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di negeri ini yang ingin mendapatkan peranti percuma boleh mengemukakan permohonan menerusi Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, mulai hari ini.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek, berkata peranti itu adalah usaha kerajaan negeri untuk membantu pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi membiayai bantuan peralatan berkenaan yang membabitkan sebanyak 3,600 peranti.

“Mereka (pelajar) yang memerlukan peranti ini boleh memohon melalui Pusat Khidmat DUN masing-masing.

“Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) dan Penyelaras DUN akan memproses serta menilai sebelum membuat pemilihan untuk pelajar yang berjaya.

“Keutamaan pemilihan akan diberi kepada pelajar dari golongan keluarga berpendapatan rendah, pelajar institut pengajian tinggi (IPT) diikuti pelajar Tingkatan Enam, Lima dan ke bawah,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap keluarga hanya dibenarkan memiliki satu unit peranti walaupun keluarga berkenaan mempunyai bilangan anak ramai yang bersekolah.

-Advertisement-

Mohamad Rafie yang juga ADUN Ampangan berkata, ia bagi membolehkan lebih ramai keluarga yang dapat menerima manfaat kemudahan alat peranti yang disediakan itu.

Katanya, setiap Pusat Khidmat Rakyat di 36 DUN akan diperuntukkan sebanyak 100 unit peranti.

“Ini adalah inisiatif kerajaan Negeri Sembilan untuk membantu pelajar dalam kaedah pembelajaran PdPR hasil keinsafan bahawa ramai pelajar tidak mempunyai kemudahan peranti untuk mereka mengikuti PdPR dalam suasana pandemik Covid-19 ketika ini.

“Harapan kita semoga inisiatif ini dapat membantu ibu bapa dalam memastikan setiap anak dapat mengikuti PdPR dengan baik dan sempurna, untuk masa mereka,” katanya.

-BH