Empat beradik maut kebakaran sembunyi dalam tandas cuba selamatkan diri

Estimate Reading Time: 2 minutes

MUAR, 30 Mac (Bernama) — Empat kanak-kanak yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini malam tadi, dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi di dalam bilik air di bahagian dapur rumah mereka.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata dalam kejadian 7.49 malam itu, Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, ditemukan maut di dalam tandas rumah itu.

Beliau berkata menurut jiran, mereka terdengar jeritan daripada kanak-kanak malang itu.

“Ada (dengar jeritan). (Kesemua mangsa) dipercayai masih sedar ketika kejadian berlaku dan cuba mengeluarkan diri dari rumah. Tindakan awal mereka ialah menyorok di dalam tandas.

“Ketika kita sampai, pintu belakang telah hangus sepenuhnya, kita tak dapat kenal pasti sama ada pintu berkunci atau tidak,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Raiz Mukhliz berkata mengikut kenyataan awal daripada ibu mangsa yang merupakan warga tempatan, rumah itu tidak berkunci dan ketika kejadian, ibu bapa empat beradik itu tiada di rumah.

-Advertisement-

Beliau berkata bapa mereka yang merupakan warga Myanmar berusia 30 tahun sedang bekerja di sebuah restoran, manakala ibu mereka keluar sebentar untuk membeli juadah berbuka puasa di kedai berhampiran.

“Kira-kira 10 minit kemudian, dia (ibu mangsa) dapat panggilan daripada jiran yang beritahu rumahnya terbakar, lalu dia bergegas pulang. Tetapi dia tidak berjaya masuk ke rumah akibat api yang begitu marak dan tidak selamat untuk dia masuk,” kata beliau.

Ketika ditanya mengenai punca kebakaran, Raiz Mukhliz berkata dapatan awal menunjukkan kemungkinan berlaku litar pintas, dipercayai bermula dari dapur rumah berkenaan.

“Ibu kanak-kanak itu memaklumkan rumah mereka tidak mempunyai televisyen atau barangan elektrik lain, tetapi ada menyalakan beberapa lampu. Ketika pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sampai, rumah berkenaan telah pun 60 hingga 70 peratus terbakar,” katanya.

Beliau berkata selesai memadamkan kebakaran, JBPM menemukan mayat empat kanak-kanak itu di dalam tandas rumah terbabit dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini untuk bedah siasat. – BERNAMA