SHAH ALAM, 5 Ogos 2026 (The Capital Post) – Komitmen mempertingkat kecemerlangan pengurusan outlet Institusi Pasaran diperkasakan menerusi penganjuran Konvensyen Kepimpinan Pengurusan Outlet Institusi Pasaran Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam pada 4 Ogos 2026.
Program berkenaan menjadi platform strategik bagi memperkukuh kepimpinan, meningkatkan kecekapan pengurusan serta memperkasakan peranan outlet Institusi Pasaran dalam menyokong penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di seluruh negara.
Majlis amanat konvensyen telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Faisal Iswardi bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) yang menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah FAMA. Dalam amanatnya, beliau menekankan kepentingan kepimpinan berkesan, peningkatan prestasi organisasi serta komitmen warga kerja dalam memastikan peranan FAMA terus diperkasa.
-Advertisement-
Turut diadakan dalam konvensyen tersebut ialah sesi bacaan ikrar peserta sebagai tanda kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme. Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada warga FAMA yang bakal bersara serta pegawai yang akan bertukar penempatan sebagai tanda mengenang jasa dan sumbangan mereka kepada organisasi.
Penganjuran konvensyen ini diharap dapat memperkukuh hubungan kerjasama antara warga FAMA, membuka ruang perkongsian amalan terbaik serta melahirkan barisan kepimpinan yang berdaya saing bagi memacu kecemerlangan Institusi Pasaran dan organisasi FAMA secara keseluruhan. – The Capital Post